Ibubapa cuai boleh didakwa membunuh

Ibubapa cuai boleh didakwa membunuh

Ibubapa cuai boleh didakwa membunuh. Sindrom Terlupa Anak atau Forgotten Baby Syndrome satu terma digunakan pihak berkuasa bagi merujuk kes ibu bapa atau penjaga tertinggal anak dalam kenderaan.

Sindrom berkenaan dikatakan berlaku akibat berlaku perubahan pada rutin harian ibu bapa, malah ia bukanlah kes terpencil sebaliknya kian memburuk dalam masyarakat yang mana nyawa bayi ataupun kanak-kanak terbabit menjadi pertaruhan.

Mana tidaknya, sepanjang Januari tahun ini sahaja sebanyak 41 kes kanak-kanak tertinggal dalam kenderaan dilaporkan.

Malah, sekurang-kurangnya tiga kematian akibat kes berkenaan dilaporkan media tahun lalu.

Mengulas lanjut, Pengarah Bahagian Operasi Kebombaan dan Penyelamat Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Datuk Nor Hisham Mohamad berkata, sindrom berkenaan bukanlah satu kes terpencil tetapi banyak dilaporkan berlaku dalam masyarakat hari ini.

Menurutnya, untuk Januari tahun ini sahaja sebanyak 41 kes dilaporkan namun ia tidak membabitkan kematian kerana pihak berkuasa cepat bertindak menyelamatkan kanak-kanak yang terperangkap dalam kenderaan.

“Statistik JBPM merekodkan 309 kes tahun lalu manakala 298 kes (2020) dan 305 kes (2019),” katanya.

Menurutnya, Kedah adalah negeri yang merekodkan kes tertinggi iaitu 52 kes sepanjang tahun lalu manakala 51 kes pada 2020 dan 63 kes pada 2019.

Diminta memperincikan sindrom berkenaan, Nor Hisham berkata, perubahan rutin harian ibu bapa yang paling banyak menjadi punca kes ini berlaku.

“Ini dipanggil Forgotten Baby Syndrome (Sindrom Terlupa Anak) yang terjadi apabila ibu bapa atau penjaga terlalu fokus kepada tugasan perlu dibuat.

“Ibu bapa yang biasanya tidak membawa anak mereka ke pusat jagaan atau pengasuh akan memandu di jalan yang sama pergi dan balik bekerja setiap hari.

“Contoh lain pula, kebiasaan ibu bapa akan menghantar anak ke taska terlebih dahulu namun pada hari kejadian membuat perubahan rutin dengan menghantar abang ke sekolah. Ini akan menyebabkan ibu bapa terlupa ada adik yang belum dihantar,” katanya kepada Harian Metro.

Ditanya risiko dihadapi anak ditinggalkan dalam kereta, katanya, kanak-kanak malang itu mudah diserang strok haba apabila suhu dalam badan mereka mencapai tahap melebihi 40 darjah Celsius.

“Berdasarkan kajian, badan kanak-kanak memanas tiga hingga lima kali ganda lebih cepat berbanding orang dewasa.

“Suhu dalaman badan kanak-kanak boleh mencapai tahap tidak selamat selepas kira-kira satu jam dalam kereta yang diletakkan bawah sinar matahari atau selepas kira-kira dua jam dalam kereta diletakkan di tempat teduh.

“Seorang kanak-kanak boleh meninggal dunia apabila suhunya mencapai 41 darjah Celsius,” katanya.

Katanya, beliau menasihati ibu bapa untuk elak meninggalkan anak bersendirian dalam kenderaan walaupun seminit.

Ditanya apa perlu dilakukan ibu bapa sekiranya anak terkunci dalam kenderaan, beliau berkata, tidak panik dan segera hubungi talian kecemasan 999 atau tukang kunci untuk bantuan, halang sinaran matahari dari terus masuk ke dalam kenderaan serta peka keadaan anak setiap masa.

Tambah beliau, ibu bapa juga perlu bertanggungjawab dengan tidak membiarkan anak yang berusia di bawah enam tahun dalam kenderaan tanpa pengawasan.

“Selain itu dalam keadaan cuaca yang panas ketika ini juga meningkatkan risiko bahaya kepada kanak-kanak terbabit jika tertinggal di dalam kereta,” katanya.

Ibubapa cuai boleh didakwa membunuh

Ibu bapa cuai boleh didakwa membunuh

Ibu bapa yang meninggalkan anak di dalam kereta sehingga menyebabkan kematian boleh didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh atau Seksyen 304 iaitu menyebabkan kematian tanpa niat.

Ketua Penolong Pengarah Bahagian Siasatan Jenayah Seksual, Wanita dan Kanak-Kanak (D11), Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman Asisten Komisioner Siti Kamsiah Hassan berkata, siasatan lain boleh dijalankan adalah mengikut Seksyen 31(1) Akta Kanak-kanak 2001 iaitu dengan cuai menyebabkan kecederaan atau kematian kepada kanak-kanak dan Seksyen 33 Akta Kanak-Kanak 2001 iaitu meninggalkan kanak-kanak tanpa pengawasan yang sewajarnya.

Menurutnya, bagi Seksyen 31(1) Akta Kanak-kanak 2001 sebanyak empat kes sejak 2019 hingga tahun lalu manakala satu kes disiasat mengikut Seksyen 33 Akta Kanak-Kanak 2001 pada tahun 2020.

“Kita turut membuka satu kertas siasatan mengikut Seksyen 304A pada tahun 2019. Bagaimanapun daripada enam kertas siasatan yang dibuka hanya dua sahaja dituduh di mahkamah sepanjang tempoh tiga tahun itu,” katanya dalam temubual eksklusif kepada Harian Metro.

Kamsiah berkata, melalui siasatan Polis Diraja Malaysia (PDRM) kesemua kes berlaku berpunca daripada terlupa anak atau mangsa di dalam kereta.

“Mereka meninggalkan kenderaan tanpa melihat atau memastikan setiap penumpang kenderaan sudah keluar semuanya.

“Undang-undang sedia ada menyediakan peruntukan hukuman yang tinggi kepada mereka yang disabitkan dengan kesalahan itu,” katanya.

Beliau berkata, sewajarnya hukuman ini sudah mencukupi memberi pengajaran kepada masyarakat.

“Kewujudan undang-undang baru mungkin bukan cara penyelesaian yang dapat menangani kejadian ini.

“Berdasarkan siasatan PDRM, kami dapati isu sikap sambil lewa, kurang berhati-hati dan ambil mudah dalam menguruskan kanak-kanak menyebabkan perkara ini terjadi,” katanya.

Tambahnya, ahli masyarakat perlu diberi kesedaran untuk lebih teratur, teliti serta ada kaedah ‘check and balance’ yang tinggi jika menguruskan kanak-kanak.

“Bermakna kalau keluar daripada kereta pastikan dikira dan tidak meninggalkan kereta tanpa melihat terlebih dahulu penumpang sudah keluar atau belum.

“Perlu ada tahap waspada yang tinggi, ada disiplin untuk periksa dahulu isi penumpang sama ada betul-betul sudah keluar daripada kereta atau belum,” katanya.

Ada gangguan kognitif akibat otak penat

Gangguan kognitif akibat beban mental yang banyak boleh menyebabkan berlakunya kes ibu bapa atau penjaga tertinggal anak di dalam kenderaan.

Pensyarah Psikologi Jabatan Antropologi dan Sosiologi Universiti Malaya (UM) Prof Madya Dr Mohd Awang Idris berkata, otak manusia berfungsi mengikut dua keadaan iaitu tindak balas automatik dan tindak balas terkawal.

Menurut Dr Mohd Awang, sebagai contoh kaki mana yang ingin digerak dahulu ketika berjalan menggunakan tindak balas automatik manakala dalam kes tertentu manusia akan menggunakan tindak balas kawalan seperti apabila melihat budak melintas akan menekan brek kereta.

“Dalam kes tertinggal kanak-kanak di dalam kenderaan ini kemungkinan disebabkan gangguan kognitif akibat otak kepenatan kerana banyak berfikir sehingga otak berfungsi seolah-olah tindak balas automatik.

“Sedangkan jika waktu itu otaknya berfungsi tindak balas kawalan sudah pasti mereka tahu apa yang perlu dilakukan seperti membuka cermin kereta jika ingin meninggalkan kanak-kanak di dalam kenderaan,” katanya kepada Harian Metro.

Baca Lagi:

Ini cara semak baki kredit Touch ‘n Go (TNG) pada Mykad anda dengan mudah

Biawak kena rogol, empat lelaki ditahan pegawai perhutanan

Lelaki pukul dua perompak sampai mati, didakwa di mahkamah atas tuduhan membunuh

CATEGORIES
TAGS