Lelaki ini 7 kali dipanah petir tapi masih hidup pegang rekod dunia

Lelaki ini 7 kali dipanah petir tapi masih hidup pegang rekod dunia

Lelaki ini 7 kali dipanah petir tapi masih hidup pegang rekod dunia. Seorang lelaki bernama Roy C. Sullivan merupakan penjaga taman Amerika Syarikat di Taman Nasional Shenandoah dalam daerah Virginia. Dia adalah memegang rekod dunia paling mengagumkan namun tidak pernah berharap itu berlaku kepadanya iaitu manusia paling banyak disambar petir.

Sullivan telah disambar petir dalam tujuh kejadian berasingan antara tahun 1942 dan 1977 namun nyawanya masih terselamat untuk menceritakan kisah itu.

Kali pertama dipanah petir

Sullivan mengalami serangan kilat pertama pada April 1942. Ketika itu dia berusaha mencari perlindungan dari ribut petir dan naik ke menara pemadam api menghadap Page Valley di Taman Nasional Shenandoah.

Malangnya, penebat petir belum dipasang di menara itu. Menara itu disambar petir berkali-kali, mengakibatkan api marak. Sullivan berusaha menyelamatkan diri, namun ketika dia lari beberapa kaki dari menara, kilat telah menyambar dan membakar kaki kanannya serta menghancurkan kuku di jari kaki Sullivan. Panahan petir itu meninggalkan lubang di kasutnya.

Panahan petir kedua

Kejadian menimpa Sullivan berikutnya berlaku pada bulan Julai 1969. Ketika itu dia memandu traknya di jalan kawasan pergunungan ketika kilat menyambar dua batang pokok berada berdekatan jalan itu.

Petir itu menyambar dari pokok di satu sisi jalan melintas ke sebatang pokok di bahagian seberang. Sullivan membuka kedua-dua tingkap traknya, dan ketika petir itu melintasi jalan, Sullivan berada betul-betul di laluannya. Ia membakar bulu mata, kening, dan rambut Sullivan serta topi dipakainya.

Kali ketiga dipanah petir

Hanya setahun kemudian, pada bulan Julai 1970, Sullivan mengalami serangan kilat untuk kali ketiga. Ketika itu dia berdiri di tepi kebunnya tatkala kilat menyambar transformer elektrik berhampiran trelernya.

Petir itu telah menambar Sullivan dan mengenai bahu kirinya. Dia tercampak beberapa kaki ke belakang namun mengalami luka terbakar yang ringan.

Kali keempat dipanah petir

Dua tahun kemudian, pada tahun 1972, Sullivan kali keempat dipanah petir di Taman Negara Shenandoah. Kali ini sambaran kilat telah membakar rambutnya.

Dia terpaksa menggunakan tisu basah untuk memadamkan api tersebut. Ketika Guinness Book of World Records edisi 1972 diterbitkan, Sullivan dicatat sebagai “satu-satunya manusia masih hidup selepas disambar petir sebanyak empat kali” namun rupa-rupanya itu bukan rekod terbaik Sullivan, dia sendiri akan memecahkan rekod itu dalam kejadian-kejadian seterusnya.

Dipanah petir kali kelima.

Pada bulan Ogos 1973, Sullivan dipanah petir untuk kali kelima ketika cuba mengatasi ribut di dalam traknya. Ketika itu, dia berfikir sudah berada cukup jauh dari ribut sebelum keluar dari traknya untuk melihat-lihat keadaan.

Tiba-tiba kilat muncul tepat ke arahnya, dan menyambar kepalanya, menyebabkan rambutnya terbakar lagi. Panahan petir itu turun ke lengan dan kaki kirinya, menyebabkan kasutnya tercabut.

Panahan petir kali keenam

Sullivan berjalan di sepanjang jalan pada bulan Jun 1976, kira-kira satu batu jauhnya dari tempat dia diserang kali kedua pada tahun 1969. Ketika itu dia disambar petir untuk kali keenam.

Kali ketujuh Suvillan dipanah petir

Sullivan bersara dari Park Service lima bulan selepas serangan kilat keenam terjadi kepadanya. Dia berhijrah ke sebuah kota baharu bernama Dooms, terletak di Virginia.

Ketika itu Sullivan telah memasang batang penebat kilat pada treler dan kawasan sekitar rumahnya. Meskipun tindakan itu berjaya melindunginya di rumah, petir ketujuh dan terakhir menyambar ketika dia sedang menangkap ikan pada bulan Jun 1977.

Panahan petir itu telah menyebabkan dia terjatuh dari perahu dan membakar rambutnya sekali lagi. Sullivan turut mengalami luka terbakar di dada dan perut, serta kehilangan pendengaran di salah satu telinganya.

Ketika itu seluar dalam dan kemeja T dipakai turut berlubang di bahagian dalam. Namun dugaan itu belum selesai. Ketika Sullivan berusaha menuju ke arah keretanya, dia menghadapi masalah lain.

Seekor beruang hitam sedang mencari makan tengah hari telah meragut ikan trout ditangkap oleh Sullivan. Dia memukul beruang itu dengan dahan pokok sebelum melarikan diri.

Dalam satu temubual bersama Waynesboro News Virginian tentang peristiwa berdepan dengan beruang tersebut, kata Sullivan itu merupakan serangan beruang kali ke-22 pernah dihadapi sepanjang hayatnya.

Walaupun kilat tidak pernah membunuh Roy Sullivan, yang mendapat gelaran “Human Lightning Rod,” (manusia penebat petir), ada perkara lain mungkin mencelarukan fikiran Sullivan dan akhirnya itulah menjadi punca kematiannya.

Pada awal pagi 28 September 1983, Sullivan meninggal pada usia 71 tahun akibat luka tembakan di kepala.

Rujukan : washingtonpost.com

Baca Lagi:

5 cara tempah tiket flight business class dengan harga murah yang perlu anda tahu…

Berlari sejauh 10km mampu hilangkan Covid-19?

Harga makanan berasaskan ayam dijangka naik menjelang Ramadan

CATEGORIES