Wanita juga mampu menjadi seorang juruterbang yang berjaya bukan sekadar pramugari

Wanita juga mampu menjadi seorang juruterbang yang berjaya bukan sekadar pramugari

Wanita juga mampu menjadi seorang juruterbang yang berjaya bukan sekadar pramugari. Melissa hanya merasa pengalaman menaiki kapal terbang pada usia 21 tahun, tetapi siapa sangka kecintaannya kepada industri aeroangkasa membolehkah beliau bergelar juruterbang pesawat komersial.

Kerjaya juruterbang sering dikaitkan dengan golongan lelaki yang rata-ratanya mendominasi pekerjaan itu.

Namun bagi Kapten AirAsia Malaysia, Melissa Nathan, 38, peredaran masa menunjukkan wanita juga mampu menjadi seorang juruterbang yang berjaya dan berkaliber.

“Pada zaman saya, memang agak mencabar semasa mula bekerja kerana persepsi masyarakat yang menganggap memandu kapal terbang adalah untuk lelaki sahaja.

“Oleh itu, saya harus membuktikan pada mereka yang wanita juga sebaik dan sehebat lelaki atau lebih baik. Apabila masyarakat dapat menilai wanita juga boleh melakukan pelbagai perkara, mereka akan mula menerima kita,” katanya kepada Sinar Premium.

Melissa yang berpengalaman 15 tahun dalam industri aviasi berkata, persepsi masyarakat yang masih berfikiran wanita dari sisi penerbangan hanyalah pekerjaan sebagai pramugari sahaja itu sudah tidak relevan.

“Semasa zaman penerbangan ini bermula, memang lebih banyak lelaki memasuki bidang ini. Masyarakat dahulu tidak pernah terfikir dalam pemikiran mereka untuk bekerja apatah lagi menjadi juruterbang kerana lelaki yang keluar mencari nafkah.

“Saya juga tidak pernah terlintas wanita boleh membawa kapal terbang kerana saya sendiri tidak ada pendedahan, namun apabila saya memakai sahaja pakaian seragam, masyarakat memandang saya dengan pandangan yang berbeza dan saya berasa seronok,” katanya.

Selain itu, Melissa pada awalnya tidak terfikir untuk menjadi seorang juruterbang kerana impiannya ialah menjadi seorang angkasawan negara.

“Saya berkelulusan Kejuruteraan Mekanikal (Aeronautic) jadi asalkan ada peluang yang berkaitan kapal terbang, saya terus mengambil peluang tersebut.

“Apabila saya memohon dan berjaya lulus semua ujian, saya menyertai program kadet AirAsia semasa saya berumur 23 tahun. Sejujurnya, saya tidak bercita-cita menjadi juruterbang sebaliknya impian saya ialah menjadi seorang angkasawan negara,” katanya.

Tambah Melissa, dia pernah mencuba untuk menjadi jurutera kapal terbang Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) ketika itu tetapi permohonannya tidak berjaya kerana dia seorang yang memakai cermin mata.

“Saya cuma mahukan sesuatu yang berkaitan dengan kapal terbang kerana saya suka bunyi enjin kapal terbang yang menyenangkan hati.

“Namun, saya tidak pernah terfikir akan membawa kapal terbang dan hanya pernah naik kapal terbang sekali dalam hidup ketika berusia 21 tahun,” katanya.

Kini, Melissa amat menyukai pekerjaannya dan ia memberikan perasaan yang menyeronokkan dan sukar digambarkan dengan kata-kata.

“Sekarang memang pekerjaan saya amat menyeronokkan. Saya tidak boleh fikir pekerjaan lain yang boleh memberi nikmat pemandangan yang cantik setiap hari umpama pejabat anda selalu bertukar-tukar.

“Kita juga akan berjumpa orang yang pelbagai ragam dan tanggungjawab membawa penumpang dari satu destinasi ke destinasi lain dengan selamat itu yang membuat saya berasa gembira,” katanya.

Melissa yang juga merupakan ibu kepada dua orang anak kecil itu berkata, perubahan era menunjukkan wanita sudah boleh mengimbangi keluarga dan kerjaya asalkan mereka diberi peluang sama rata.

INFO

Nama: Melissa Nathan

Umur: 38 tahun

Asal: Shah Alam

Jawatan: Kapten AirAsia Malaysia

Pendidikan: Diploma Kejuruteraan Mekanikal (Aeronautic) & Kadet Juruterbang AirAsia

Pengalaman: 15 tahun dan 9 tahun menjadi Kapten

Baca lagi:

6 cara kurangkan sakit tekak yang boleh anda lakukan sendiri di rumah

Mulai 1 April solat berjemaah di Masjid dan Surau tiada lagi penjarakan fizikal

Sukarelawan Ukraine terbunuh ditembak “dari jarak dekat” ketika hantar makanan ke tempat perlindungan anjing

CATEGORIES
TAGS