‘Jelmaan’ Michael Jackson muncul Sabah!

‘Jelmaan’ Michael Jackson muncul Sabah!

Bila menyebut nama mendiang Michael Jackson, pasti ramai mengaguminya sebagai penghibur yang lincah menari sambil menyanyi dan sehingga kini karya seni serta rentak tariannya tetap diingati walaupun beliau sudah meninggal dunia pada 2009.

Tidak terkecuali di Malaysia, raja pop itu mempunyai peminat tersendiri dengan ada yang bukan sahaja mampu melantunkan lagu-lagu mendiang malah berupaya menari lincah mengikut gerak-geri Jackson lengkap berpakaian hampir serupa.

Pada awal tahun ini muncul seorang pemuda, Ahmad Ebadey Ahmad Salleh, 24, dari Semporna, Sabah yang mempunyai bakat tarian dan menyanyi mirip penghibur legenda itu sehinggakan video persembahannya meraih pujian serta tular menerusi media sosial.

41646531031 AhmadEbadeyAhmadS

Dengan mengenakan topi, jaket hitam dan sarung tangan sambil melakukan gerak tarian ‘moonwalk’ ketika melakukan persembahan, kemunculan Ahmad Ebadey menampakkan dirinya seperti jelmaan Michael Jackson.

“Bermula daripada ayah yang sering memainkan lagu-lagu Michael Jackson, secara tidak langsung ia telah menimbulkan minat kepada saya untuk mempelajari rentak tarian dan berlatih sendiri di rumah.

“Klip video tarian Michael Jackson juga banyak memberi inspirasi kepada saya, mula-mula saya belajar pergerakan, lama-lama apabila sudah dapat rentak baru menyanyi, jadi ambil masa belasan tahun juga untuk saya menjiwai kedua-duanya,” katanya.

Bercerita lanjut, bekas operator kilang di Shah Alam, Selangor itu berkata beliau tidak terlintas video persembahannya di sebuah restoran di Bandar Sunway tular dan mendapat reaksi ribuan warga maya kerana ia dibuat hanya untuk suka-suka dan menghiburkan orang ramai.

Menurut Ahmad Ebadey, beliau mula melakukan persembahan secara langsung di khalayak ramai pada November lepas selepas menerima tawaran daripada kumpulan busker, ‘Project-X Band’ yang kerap mengadakan persembahan di restoran tersebut.

“Saya asalnya merupakan pelanggan tetap di sebuah restoran tempat Project-X Band selalu buat persembahan. Selepas habis waktu bekerja, saya akan datang (ke restoran) dan lepak bersama kawan-kawan. Kadang-kadang saya akan menyanyi juga.

“Selepas mereka (Project- X Band) tahu saya sudah berhenti kerja, mereka menawarkan saya supaya menyanyi ‘busking’ sepenuh masa bersama-sama dan ini mungkin rezeki saya kerana selama ini tidak berpeluang,” katanya yang merantau ke Lembah Klang sejak 2019.

Ahmad Ebadey yang masih bujang berkata kelengkapan pakaian mirip Jackson dibeli sendiri supaya persembahannya dilihat lebih sempurna ketika menyanyi lagu-lagu ikon pop itu.

Antara lagu popular Jackson yang sering dipersembahkan Ahmad Ebadey ialah Billie Jean, Beat It, Bad dan Smooth Criminal.

Sementara itu, Pensyarah Kanan Fakulti Muzik Universiti Teknologi MARA (UiTM) Shah Alam Rizal Ezuan Zulkifly Tony berkata Ahmad Ebadey berjaya menerapkan nilai muzik dan nilai tari yang sangat baik kerana boleh meniru gaya Jackson dalam keadaan yang ‘selesa’.

“Ada orang boleh tiru tarian tetapi apabila melakukan pergerakan (tarian), orang itu kurang selesa menyanyi, bagi Ahmad Ebadey saya nampak beliau selesa melakukannya.

“Ini kerana secara psikologi otak Ahmad Ebadey telah dilatih sejak kecil lagi untuk fokus melakukan dua perkara dengan serentak. Ditambah pula dengan minat, bakat dan kerja keras yang beliau lakukan,” katanya yang yakin bakat Ahmad Ebadey dapat dikembangkan sekiranya dilatih secara formal mengenai ilmu muzik.

Baca lagi:

Kapal Kargo tenggelam bawa 4,000 kereta mewah bernilai RM1.8 Bilion

“Dah tahu duit ada RM30, beli je ayam penyet tepi jalan’ Kak long tukang urut ‘sound’ Kak Long air batu

Nampak je sama, tapi lain sebenarnya..Ini jenis susu dalam tin yang ramai belum tahu

CATEGORIES
TAGS