“Biarkanlah kami teruskan kehidupan masing-masing dengan tenang.”- Aishah

“Biarkanlah kami teruskan kehidupan masing-masing dengan tenang.”

Demikian kata penyanyi Datuk Aishah berhubung pengakhiran rumah tangganya apabila diceraikan dengan talak satu melalui aplikasi WhatsApp sejak 25 Disember lalu.

Aishah atau nama lengkapnya, Wan Aishah Wan Ariffin ketika dihubungi Kosmo! Online sebentar tadi berkata, tiada apa lagi ingin diceritakan tentang perkahwinannya dengan bekas suami, Syamsul Bahari yang dikahwininya pada 2017.

“Tiada apa ingin diceritakan lagi. Kami dah bercerai, itu sahaja.

“Perincian kenapa, mengapa, di mana dan sebagainya rasanya tidak perlu diceritakan lagi,” katanya menerusi pesanan WhatsApp.

Reda dengan ketentuan takdir, pelantun lagu Janji Manismu itu, walaupun tidak lagi menjawat peranan sebagai seorang isteri, kehidupan harus diteruskan seperti biasa.

“Jodoh, ajal dan maut Allah SWT yang tentukan. Kita hanya hamba yang lemah.

“Saya tetap meneruskan kehidupan seperti biasa dan sebaik mungkin. Bahagiakan hidup bersama anak-anak dan keluarga, insya-Allah.

“Biarkanlah kami teruskan kehidupan masing-masing dengan tenang.”- Aishah

“Banyakkan amalan dan ibadah dan pada pada masa sama, berkarya dalam muzik demi para peminat yang tidak henti-henti memberikan sokongan,” katanya lagi.

Pinta Aishah, 57, dia tidak mahu terlalu menggembar-gemburkan perkara yang sudah menjadi sejarah dalam lipatan hidupnya. Katanya, apa yang berlaku, biarlah berlalu.

“Benda dah lepas. Saya tak nak orang fikir saya menjaja benda yang dah berlaku. Saya minta difahami dan orang ramai mengerti fasa yang sedang saya jalani.

“Kalau saya cerita lebih-lebih nanti, orang fikir saya yang melebih-lebih dan akhirnya, saya juga dipersalahkan. Apa pun, saya mendoakan yang baik-baik buat pihak sebelah sana dan saya mengharapkan perkara sama,” ujarnya yang kini muncul dengan single terbaharu, Ketentuan Takdir.

Terdahulu, juara program Gegar Vaganza musim keempat (GV4) itu membuat pendedahan kepada media dirinya menangis diceraikan bekas suami melalui pesanan WhatsApp pada 25 Disember tahun lalu.

“Tipulah kalau saya tidak sedih denga napa yang terjadi (perceraian). Saya bukannya robot. Saya menangis sebaik sahaja membaca kiriman mesej yang diberi,” ujarnya.

November tahun lalu, Aishah mendedahkan sudah tiga bulan tidak tinggal sebumbung dengan suami yang merupakan perkahwinan keempatnya.

Terdahulu, pada 2017, Aishah kembali berumahtangga selepas enam tahun bercerai dengan suami ketiganya, Faizal Sazali Zulkifli yang dikahwininya pada 2010. Ketika itu, dia bagaimanapun enggan mendedahkan butiran lanjut mengenai perkahwinan keempatnya itu.

Kembali solo selepas lima tahun kembali melayari bahtera perkahwinan, Aishah memaklumkan, dua cahaya matanya daripada perkahwinan pertama, Armand Azhari, 28, dan Azhad Ahlami, 23, merupakan sumber kekuatan hidupnya sekarang.

“Ini bukan perkara baharu buat saya (bercerai). Lagipun, saya pernah melalui pengalaman sama sebelum ini. Masa itu, anak-anak masih kecil lagi.

“Sekarang, anak-anak sudah dewasa dan menjadi tempat untuk saya bergantung harap. Hidup saya kini hanyalah untuk anak-anak,” jelasnya.

Baca lagi:  Saintis dedah muka manusia yang hidup jutaan tahun lalu digelar ‘Budak Turkana’

Ebit Lew bantu ‘kakak rider’ bawa anak OKU

Penyanyi Tuah Adzmi terdesak jual Mini Cooper RM18,000 sahaja

Leave a Reply

Your email address will not be published.