Giliran Penolong Pegawai Perubatan mogok esok?

Giliran Penolong Pegawai Perubatan mogok esok?

Giliran Penolong Pegawai Perubatan mogok esok? Belum selesai dengan isu lantikan tetap doktor kontrak ke dalam Kementerian Kesihatan, kini Penolong Pegawai Perubatan (PPP) lantikan Gred U29 menuntut perkara sama.

Seperti yang digerakkan oleh kumpulan Hartal Doktor Kontrak di seluruh negara sebelum ini, PPP juga akan mengadakan siri tunjuk perasaan bagi memperjuangkan lantikan mereka, di samping beberapa manfaat lain tidak diperoleh kerana berstatus ‘kontrak’.

Mendedahkan kepada Utusan Malaysia, salah seorang PPP kontrak yang enggan dikenali berkata, kebanyakan daripada mereka akan menamatkan perkhidmatan kontrak esok.

Justeru katanya, protes tersebut akan dilancarkan melalui akaun media sosial Facebook penolong pegawai perubatan masing-masing dengan menukar gambar profil hitam berserta kapsyen ‘Kami Mahu Lantikan Tetap’ dan ‘Kami Masih Ingin Berkhidmat’ selain menyerahkan petisyen rasmi kepada kerajaan.

“Tiada himpunan atau bantahan secara fizikal dibuat bagi mengelakkan aktiviti berkumpulan kerana prosedur operasi standard (SOP) masih berjalan. Kami mahu menjadi contoh kepada masyarakat yang kami masih mahu menyumbang khidmat bakti kepada masyarakat dan negara.

“Jika pandemik Covid-19 berjaya ditangani, maka kerajaan berhak menamatkan perkhidmatan kami, tetapi sekarang belum pasti jika kita berjaya membasmi penularan wabak sepenuhnya.

“Pusat kuarantin masih dibuka, proses penghantaran pesakit, ujian calitan RTK dan PCR masih rancak dilakukan. Bayangkan jika lebih ramai khidmat PPP ditamatkan dan tercetus satu lagi bencana wabak, maka negara akan kekurangan petugas kesihatan,” katanya hari ini.

Menerusi data diberikan oleh sumber, sejumlah 4,300 penolong pegawai perubatan telah direkrut kerajaan sejak sistem kontrak diperkenalkan pada 2018, menyaksikan 3,400 tajaan Kementerian Kesihatan dan 900 lagi dilantik daripada kolej-kolej swasta.

Khidmat kontrak PPP terbahagi kepada lapan fasa, menyaksikan Fasa 1 sudah diserap secara tetap, Fasa 2 dan Fasa 3 ada yang dilanjutkan dan ditamatkan perkhidmatan manakala Fasa 4 ke atas turut terjejas kerana ada yang akan menamatkan kontrak Mac ini.

Bagaimanapun di dalam perkara 12 syarat-syarat pelantikan perkhidmatan kontrak pegawai di bawah Skim Perkhidmatan Paramedik dan Auksiliari Gred UD29 menyatakan, kerajaan tidak wajib melantik pegawai ke jawatan tetap dalam perkhidmatan awam dan sebarang permohonan bagi maksud lantikan tetap perlu dibuat terus kepada Suruhanjaya Perkhidmatan Awam (SPA).

Mengulas lanjut, sumber berkata, kewajaran melantik mereka ke jawatan tetap kerana semua PPP kontrak kerajaan dan swasta masih berjuang melawan Covid-19 bertugas di Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 (PKRC), Pusat Penilaian Covid-19 (CAC), zon sindrom pernafasan akut teruk (SARI) dan terlibat dalam Pasukan Bertindak Khas (RRT), iaitu bertugas mengambil pesakit positif Covid-19 di rumah pesakit dan dihantar ke pusat-pusat kuarantin.

“Adalah tidak adil ketika kami semua sudah berjuang dan hampir mencapai kemenangan, kami dibuang begitu sahaja seolah-olah penat lelah kami curahkan kepada masyarakat tidak berguna,” katanya.

Baca lagi:

Bila kita tekan butang, dia marah – Mohamad Hasan

Percaturan politik Azmin mula tunjuk kepincangan

CATEGORIES
TAGS