PRN Johor: PAS mahu semua kerusi BN tewas, bukan hanya empat

PAS mahu bertanding di semua kerusi Barisan Nasional (BN) tewas dan bukan hanya empat kerusi seperti mana yang ditawarkan Pengerusi Umno Johor, Datuk Hasni Mohammad.

Timbalan Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man, berkata tindakan Umno menawarkan empat kerusi daripada 59 Kerusi DUN kepada PAS dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor, sebagai bukan ‘cara baik’.

“PAS hanya minta semua kerusi yang tidak dimenangi oleh BN, khasnya kerusi PAN (Amanah) untuk PAS tandingi.

“Itu tawaran bagi memperkukuhkan muafakat dan penyatuan ummah. Tindakan ini bagi matlamat untuk pastikan Pakatan Harapan (PH) tidak kembali berkuasa di Johor,” katanya kepada Malaysiapost hari ini.

Beliau yang juga Menteri Alam Sekitar dan Air berkata, PAS menghormati pendirian Umno untuk bergerak solo dalam PRN Johor.

Katanya, dengan keputusan Umno itu maka Perikatan Nasional (PN) akan turun dengan segala kekuatan yang ada bagi menghadapi PRN Johor.

“PAS menghormati pendirian Umno untuk bergerak solo. Bagi PAS kami telah hulur salam muafakat dan penyatuan ummah.

“Justeru, PAS akan adakan perbincangan dalam masa terdekat bagi penyelarasan menghadapi PRN akan datang bersama dengan semua parti dalam PN bagi menyusun strategi menghadapi PRN ini,” katanya.

Terdahulu, Hasni memaklumkan BN berhasrat bertanding secara solo dalam PRN Johor kerana yakin mampu memperoleh kemenangan dua pertiga majoriti.

Beliau yang juga Pengerusi BN Johor berkata, gabungan tersebut akan bertanding di semua 56 kerusi DUN dan tidak memerlukan kerjasama dengan mana-mana parti yang berada di luar BN.

“Kita akan cadangkan kepada BN Pusat untuk BN Johor bertanding sendirian dalam PRN, kita yakin boleh menang tetapi apa pun keputusan ini terpulang kepada pucuk pimpinan,” katanya. – Malaysiapost

Leave a Reply

Your email address will not be published.