Cedera dibelasah gara-gara berebut pelajar perempuan

Cedera dibelasah gara-gara berebut pelajar perempuan

MELAKA: Seorang pelajar lelaki sebuah sekolah teknik di sini cedera di bahagian belakang badan, dada dan kaki dipercayai dibuli sekumpulan pelajar senior gara-gara berebut pelajar perempuan, Sabtu lalu.

Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Christopher Patit berkata, laporan polis berhubung kejadian dibuat oleh abang mangsa pada pukul 5.15 petang semalam.

Katanya, hasil siasatan awal, motif kejadian dipercayai disebabkan rasa tidak berpuas hati pelajar senior tersebut terhadap mangsa kerana mereka meminati pelajar perempuan yang sama di sekolah itu.

“Mengikut laporan dibuat, mangsa yang merupakan pelajar tingkatan empat mendakwa telah dibuli pelajar senior sehingga cedera di belakang badan, dada dan kaki kira-kira pukul 2 pagi di asrama sekolah berkenaan.

“Menurutnya sekumpulan 10 pelajar tingkatan lima membulinya kerana dia telah menipu tentang vape (rokok elektronik), namun hasil siasatan lanjut kita percaya ia sebenarnya berpunca daripada perebutan seorang pelajar perempuan,” katanya di sini hari ini.

Mengulas lanjut, beliau berkata, dalam laporan dibuat, mangsa turut mendakwa sebelum ini pernah ditahan oleh seorang pelajar senior atas kesalahan menghisap vape.

“Mangsa telah ditumbuk di bahagian perut oleh pelajar senior dan dipukul secara beramai-ramai dalam bilik asrama gara-gara tidak berpuas hati dengan jawapan diberikannya.

“Dia yang dalam kesakitan kemudian dipaksa berlawan dengan salah seorang pelajar senior berkenaan sehingga mengalami bengkak serta luka di bahagian badan dan kaki,” katanya.

Christopher berkata, sehingga kini seramai 10 pelajar sekolah terbabit telah dipanggil untuk dirakam percakapan dan kes disiasat mengikut Seksyen 147 Kanun Keseksaan.

 

 

CATEGORIES
TAGS