Aliff Aziz perlu jauhi individu toksik – Aaron Aziz

Aliff Aziz perlu jauhi individu toksik – Aaron Aziz

Aktor popular, Aaron Aziz meminta juara Gegar Vaganza musim kelapan (GV8) malam kelmarin supaya menjauhi individu toksik bagi memastikan dirinya terus berjaya dan kekal relevan dalam industri seni.

Pelakon drama Gerak Khas Undercover itu turut melahirkan rasa bangga  dengan pencapaian rakan senegara berharap Aliff tidak lagi menoleh ke belakang dan terus maju membina kerjayanya.

“Tahniah, saya bangga apabila mendapat tahu awak boleh melakukan sesuatu yang hebat bukan sahaja untuk diri sendiri tetapi isteri serta anak-anak.

“Ingat pesanan abang dalam perbualan kita, jangan pandang ke belakang hanya ke hadapan barulah kita boleh maju ke depan.

“Segala rezeki bukan untuk diri sendiri sebagai suami atau ayah tetapi untuk keluarga,” katanya dalam satu entri Instagram malam tadi.

Dalam pada itu, dia turut berpendapat kejayaan yang diraih pelantun Sayang Sayang itu mendapat keberkatan Allah SWT terutama selepas kembali ke dalam industri.

“Alhamdulillah Allah memberkati kemunculan semula awak yang hebat dalam industri.

“Sentiasa merendah diri dan jauhi golongan individu yang toksik. Tahniah sekali lagi,” ujarnya.

Semalam, Aliff atau nama sebenarnya Mohamad Aliff Aziz, 31, diumumkan sebagai juara GV8 mengalahkan lima finalis lain iaitu Nikki Palikat, Suki Low, Adibah Noor, Azan Scan dan Aweera.

Dia turut membawa pulang sebuah trofi dan wang tunai berjumlah RM100,000.

Aliff pernah terpalit dengan beberapa kontroversi dijatuhi hukuman penjara selama dua minggu atas kesalahan mencuri dan berkelakuan tidak senonoh.di tempat awam oleh Mahkamah Singapura pada 15 September 2020.

CATEGORIES
TAGS