Tiada lagi kerjasama UMNO, Pas di Kelantan

Tiada lagi kerjasama UMNO, Pas di Kelantan

Tiada lagi kerjasama UMNO, Pas di Kelantan. UMNO Kelantan akan bergerak sendiri selepas memutuskan untuk tidak lagi bekerjasama dengan Pas menerusi Muafakat Nasional (MN) di negeri ini berkuat kuasa semalam.

Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri, Datuk Ahmad Jazlan Yaakub berkata, perkara itu diputuskan selepas pertemuan pihaknya dengan Pas Kelantan di kediaman rasmi Menteri Besar Kelantan, Datuk Ahmad Yakob petang tadi.

Menurutnya, kepimpinan UMNO Kelantan sepakat membuat keputusan itu susulan pendirian Pas yang masih mahu bekerjasama dengan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dalam Pilihan Raya Umum Ke-15.

“Keputusan muktamad UMNO Kelantan adalah untuk tidak bersama Pas. Ia diputuskan dengan penuh rasa sedih kerana kita akhirnya akan mengharungi jalan berliku secara sendirian,” katanya pada sidang akhbar di Pejabat UMNO Kelantan di sini hari ini.

Ahli Parlimen Machang itu berkata, Pas Kelantan pada awalnya meminta UMNO menangguhkan perkara itu, namun beliau selaku pemimpin UMNO negeri sedia mengambil risiko dengan memuktamadkan keputusan memandangkan konflik sudah berlarutan terlalu lama.

Tegas Ahmad Jazlan, UMNO Kelantan tetap menyokong kerajaan negeri Kelantan di bawah pimpinan Ahmad selain sokongan tidak berbelah bahagi kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Tambah Ahmad Jazlan, sehubungan dengan itu BN akan bertanding di semua 45 kerusi DUN dan 14 kerusi Parlimen di seluruh Kelantan pada PRU-15 akan datang.

CATEGORIES
TAGS