SOP perjalanan umrah muktamad pertengahan Februari

Kuala Lumpur: Kementerian Kesihatan (KKM) bersama Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (Motac) akan memuktamadkan proses penilaian risiko dan prosedur operasi standard (SOP) perjalanan umrah menjelang pertengahan Februari depan.

Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin berkata, KKM bersama Motac sudah mengadakan sesi libat urus bersama Persatuan Agensi Pelancongan (Umrah) semalam bagi mendapatkan maklum balas berhubung hala tuju industri umrah susulan daripada keputusan penangguhan sementara yang sedang berkuat kuasa.

“Antara perkara yang dibangkitkan oleh pemain industri pelancongan umrah ini adalah SOP berkaitan pelaksanaan perjalanan umrah, isu bayaran balik dan penjadualan semula penerbangan, perlindungan insurans, garis masa pembukaan semula perjalanan umrah dan bantuan pemulihan kepada industri pelancongan.

“Pada sesi ini, saya dan Menteri Motac sudah menyatakan komitmen untuk memperincikan dan memperhalusi setiap isu serta cadangan yang dikemukakan di peringkat kementerian masing-masing sebelum membentangkan cadangan penambahbaikan kepada Mesyuarat Kuartet Menteri Covid-19 akan datang,” katanya dalam sidang media di Parlimen, hari ini.

Menurutnya, antaranya termasuklah proses saringan semasa ketibaan di Pintu Masuk Antarabangsa Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), pelaksanaan kuarantin sama ada di stesen kuarantin ataupun di kediaman dan juga peranan agensi pelancongan umrah sebelum, semasa dan selepas mengerjakan umrah.

“Khusus bagi garis masa pembukaan semula perjalanan umrah, kedua-dua kementerian komited untuk memuktamadkan proses penilaian risiko dan SOP perjalanan umrah menjelang pertengahan Februari tahun ini.

“KKM amat berharap supaya semua pemain industri dapat memberikan kerjasama sepenuhnya bagi memastikan aktiviti umrah dapat terus dilaksanakan dengan selamat,” katanya.

Leave a Reply

Your email address will not be published.