Impian ahli perniagaan miliki Lamborghini Aventador S berkecai, rugi RM2.4 juta ditipu kenalan. Seorang ahli perniagaan mengalami kerugian sebanyak RM2.4 juta selepas diperdaya oleh kenalan dalam urusan pembelian sebuah ‘supercar’ jenis Lamborghini Aventador S.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman, Datuk Seri Ramli Mohamed Yoosuf, berkata selepas berlarutan selama bertahun-tahun, mangsa yang juga seorang ahli perniagaan akhirnya tampil untuk membuat laporan polis pada 19 Februari lalu.
“Menurut pengadu, sekitar bulan Jun 2020, kenalannya yang bernama Lim Voi Heng (suspek) menawarkan sebuah kereta Lamborghini Aventador S yang bernilai RM2.4 juta.
“Pengadu beberapa kali berjumpa suspek dan turut memandu uji sebuah kereta jenis yang sama di sebuah syarikat permotoran yang beralamat di Puchong, Selangor,” katanya ketika sidang media di ibu pejabat JSJK di sini hari ini.
Ramli berkata, mangsa turut ditunjukkan borang import kastam bagi membuktikan bahawa kereta yang ingin dibelinya sudah diimport ke negara ini.
“Berikutan itu, sejak 15 Jun 2020, pengadu telah membuat 18 kali bayaran ke akaun sebuah syarikat yang diarahkan oleh suspek.
“Bagaimanapun, pada Januari 2022, pengadu menerima beberapa gambar dokumen notis sitaan bagi kereta yang ingin dibelinya.
“Suspek berjanji akan menyelesaikan masalah tersebut dan menguruskan pendaftaran serta pindah milik kereta tersebut,” katanya.
Bagaimanapun, katanya sehingga kini mangsa tidak menerima kereta yang dijanjikan, malah suspek juga menghilangkan diri dan tidak lagi dapat dihubungi.
“Justeru, polis kini dalam usaha mengesan suspek yang dikenali sebagai Lim Voi Heng dengan alamat terakhir di No. 703, Pangsapuri Sri Indah, Jalan Sg Besi Indah 2, Taman Sungai Besi, Seri Kembangan, Selangor.
“Kes disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu,” katanya.
Katanya lagi, orang ramai yang mengenali atau mempunyai maklumat mengenai suspek, boleh menghubungi pegawai penyiasat, Inspektor Ruzanna Khairion di talian 010-4425916 untuk membantu siasatan.