Iklan rumah flat berlumut untuk dijual jadi perhatian, siap boleh ‘nego’ lagi harga sampai jadi. Dalam mencari kediaman untuk dibeli, pasti banyak faktor perlu diambil kira termasuklah bajet dan keadaan rumah.
Tidak semestinya unit baharu, malah kediaman second hand turut menjadi pilihan jika sesuai dengan kriteria ditetapkan.
Selain harga yang menjadi faktor, turut dilihat adalah lokasi, akses dan kemudahan.
Sebelum membuat pilihan, tentunya gambar-gambar bahagian luar dan dalam kediaman banyak membantu bakal pembeli sebelum datang sendiri untuk melihatnya.
Tular di Facebook baru-baru ini mengenai jualan unit pangsapuri di Selangor dilengkapi tiga bilik tidur dan sebuah bilik mandi.
Dijual pada harga RM70,000 dan masih boleh dirunding pastinya unit ini menarik perhatian ramai.
Bagaimanapun, tiada gambar di bahagian dalam rumah yang dipaparkan kecuali foto bangunan pangsapuri dengan keadaan seperti sudah lama ditinggalkan.
Di ruangan komen, iklan rumah untuk dijual dengan hanya sekeping gambar luar bangunan ternyata menimbulkan pelbagai pandangan dan reaksi netizen.
Keadaan dindingnya yang teruk dengan lumut dan kehitaman membuatkan segelintir mereka menyifatkan ia seperti ‘pangsapuri berhantu’.
“Sekali tengok dah macam flat berhantu dah.
“Seram pula tengok keadaan flat tu, nampak tunggu masa runtuh sahaja.
“Rumah ni dah boleh paranormal.
“Tempat jin bertandang ni,” demikian antara komen netizen, merujuk kepada lokasi yang jauh terasing atau tidak dikunjungi orang.
Pada masa sama, ada antara mereka turut menegur ejen hartanah yang mengiklankan unit berkenaan kerana tidak menunjukkan secara terperinci rumah yang hendak dijual.
“Mana satu rumahnya?
“Ini ke view terbaik flat ni?
“Rumah macam ni ada ke orang nak tinggal? Mungkin kalau kasi cat nampak elok sikit,” komen netizen.
Walau bagaimanapun, mereka tidak menafikan harga rumah tersebut mampu milik dan keadaan dinding yang berlumut dan kusam boleh dibersihkan dan dicat baharu.
“Gila hebat… mana nak dapat macam ni punya harga. Bangunan air brush.
“Murah harganya flat ni.
“OK je kalau jenis pergi kerja balik terus tidur. Tak ada masalah pun. Semoga dipermudahkan rezeki masing-masing,” kata yang lain.