Iklan jual rumah RM1.4 juta jadi bualan netizen sebab luaran rumah nampak biasa saja. ‘Luar setinggan, dalam macam kondo,’ – dialog ini sering digunakan apabila sebuah rumah kelihatan biasa dari luar, tetapi keadaan di dalamnya sangat berbeza dan jauh lebih baik.
Baru-baru ini, hantaran Facebook seorang ejen hartanah telah menjadi bualan netizen selepas ia dikongsikan dalam satu kumpulan Facebook untuk pengiklanan.
Rumah teres dua tingkat yang berharga RM1.4 juta ini telah diubahsuai sepenuhnya dengan konsep moden kontemporari dan mewah.
Tanahnya berkeluasan 3,187 kaki persegi, manakala keluasan binaan rumah adalah sekitar 3,200 kaki persegi.
Rumah itu dilengkapi dengan 5+1 bilik serta 5+1 bilik air, kabinet dapur sudah siap dipasang, dan menghadap ke selatan.
Menerusi komen-komen dan perkongsian semula daripada warganet, ramai yang memuji cita rasa pemilik rumah berkenaan.
Pada masa yang sama, ejen hartanah tersebut mengesahkan bahawa pengubahsuaian rumah itu telah diluluskan oleh majlis bandaraya tempatan.
Dalam pada itu, terdapat dakwaan bahawa rumah itu milik Syuk Sahar. Namun, ejen hartanah tersebut menafikan dakwaan itu.
Warganet berpendapat bahawa sesiapa yang membeli rumah tersebut nanti hanya perlu ‘cuci kaki’ sahaja kerana tiada lagi yang perlu diubah suai — dapat kunci, terus boleh menikmati kehidupan dalam rumah yang selesa.
Anda boleh melihat gambar-gambar bahagian rumah yang telah diubah suai dengan cantik di bawah.