Ibu tunggal satu anak sanggup redah hujan naik motosikal demi Menu Rahmah

Ibu tunggal satu anak sanggup redah hujan naik motosikal demi Menu Rahmah

Ibu tunggal satu anak sanggup redah hujan naik motosikal demi Menu Rahmah. Seorang ibu tunggal dan anak perempuannya sanggup berhujan panas dengan menaiki motosikal, demi mendapatkan Menu Rahmah di sebuah kedai di pusat bandar raya ini yang menawarkan harga berpatutan.

Suhaila Badarudin, 46, berkata, walaupun terpaksa mengharungi perjalanan yang mengambil masa kira-kira 30 minit dari rumahnya di Sungai Siput ke pasar raya Mydin di Meru di sini, namun ia berbaloi kerana restoran tersebut menyajikan pelbagai juadah.

“Saya dengan anak perempuan berusia 17 tahun sanggup datang jauh-jauh sebab di sini ada makanan murah. Selalunya makanan sebegini iaitu nasi putih, kari ayam, taugeh goreng dan air mineral sudah mencecah RM8 hingga RM10.
“Kami bukanlah mahu makan besar sangat, sekadar dapat mengenyangkan perut sahaja. Dengan harga RM5 ini, dapatlah saya beli dua hingga tiga bungkus untuk saya dan anak-anak makan tengah hari,” katanya ketika ditemui Bernama di sini hari ini dan bersyukur dengan langkah kerajaan mengenalkan program Menu Rahmah tersebut.

Ibu tunggal satu anak sanggup redah hujan naik motorsikal demi Menu Rahmah

Seorang pekerja di restoran tersebut yang hanya mahu dikenali sebagai Muhammad berkata maklum balas pengunjung yang hadir amat baik, sehinggakan mereka perlu menambah lauk hampir tiga kali kerana sambutan yang amat menggalakkan.

“Kami tidak akan masak lauk dalam kuantiti banyak kerana ingin menjaga kualiti makanan dan mengelakkan daripada pembaziran.

“Apabila kita masak dalam kuantiti sederhana, kualiti makanan akan lebih terjamin malah sehingga kini, tiada pembaziran yang berlaku dan lauk habis sekitar 8 malam,” katanya ketika ditemui di pasar raya itu.

Sementara itu, Mohd Ezayddy Mohd Sofian, 41, pengusaha sebuah kedai makan Nasi Ayam Viral Klebang Putra, Chemor turut menyahut seruan kerajaan dalam menyediakan Menu Rahmah atas inisiatif sendiri untuk berkongsi rezeki kepada golongan yang kurang berkemampuan.

“Ada yang bertanya, jika jual nasi ayam harga RM4 ada ke untung? Saya dapat untung sikit sahaja tapi kerana ingin bantu meringankan beban golongan B40 dan ke bawah, apa salahnya.

“Selain itu, saya turut menjual dalam kuantiti yang banyak supaya boleh membuat pusingan modal barangan mentah,” katanya.

Seorang pengunjung, Hasliza Ahmad, 35 berkata, selepas melihat hantaran pemilik kedai di laman Facebook berkenaan Menu Rahmah, dia dan suaminya hadir ke kedai tersebut untuk merasainya.

“Saya gembira melihat banyak kedai makan yang turut sertai program ini. Memandangkan saya mempunyai anak ramai, dapatlah saya beli dengan kuantiti banyak. Selalunya harga nasi ayam di pasaran sekitar RM7 hingga RM10, harga Menu Rahmah ini murah dan mampu milik.

“Saya juga berharap kerajaan menurunkan harga bahan mentah, kalau mahu harapkan Menu Rahmah sahaja tidak mampu. Saya ada empat orang anak, sekali beli makanan sudah RM30. Jumlah itu saya boleh membeli ikan atau ayam yang boleh dimasak untuk seminggu,” katanya ketika ditemui di kedai makan tersebut.

Dilaporkan Selasa lepas, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) melancarkan Menu Rahmah yang menawarkan hidangan makan tengah hari atau makan malam berharga RM5 sepinggan di 15,000 premis menjual makanan di seluruh negara.

Baca Lagi:
Pernah bergelar isteri Azri Iskandar, lepas cerai, tak sangka begini kehidupan Ellie Suriaty
‘Bayi malang’ suami isteri enggan beli tiket penerbangan untuk anak, sanggup tinggal di kaunter daftar masuk
Orang Sarawak bakal jadi kaya-raya, ulat ‘kayangan’ berharga RM600 sekilo ditemui atas jalan
CATEGORIES