Ibu tunggal 2 anak jual nasi lemak tepi jalan diserbu orang ramai. Ajal maut jodoh pertemuan, semuanya ketentuan tuhan.
Biarpun rumah tangga yang dibina tidak berkekalan, Sharifah Nurul Hamirah Syed Mohd Hamz, 30, tetap cekal meneruskan kehidupan demi membesarkan dua anaknya.
Mesra disapa Mya, dia yang berpisah dengan bekas suami pada tahun 2018 pernah bekerja di kedai menjual minyak wangi selama empat tahun sebelum memulakan perniagaan nasi lemak dari rumah.
Lembaran baharu 2023
Sambutan menggalakkan yang diterima membuatkan Mya berani untuk mengorak langkah lebih jauh dengan membuka sebuah gerai nasi lemak di Sentul, Kuala Lumpur, bermula Selasa lalu.
“Sebelum ini saya bekerja di kedai perfume dekat sebuah mall. Saya bekerja selama empat tahun. Pada masa sama, saya juga banyak buat live TikTok untuk jual perfume. Tapi saya buat keputusan berhenti dan buka bisnes, nak cuba bidang baharu.
“Tahun lepas, saya berniaga nasi lemak daun pisang dari rumah. Pada masa itu saya hanya berniaga secara online. Saya diuji apabila ada pelanggan yang order tapi tak datang ambil nasi lemak. Jadi saya rasa lebih baik buka gerai, nak bersedekah nasi lemak pun jadi lebih mudah.
“Pada 3 Januari, secara rasmi saya buka gerai di Sentul. Buat masa ini, saya hanya fokus pada satu menu iaitu nasi lemak daun pisang dengan telur rebus, sambal dan ikan bilis pada harga RM1.50 sebungkus. Setakat ni belum ada perancangan untuk buat lauk atau menu lain,” ujarnya.
Sambutan luar biasa
@_missmyaaa_ 2nd day meniaga ! Semoga dipermudahkan segala urusan n dimurahkan rezeki..Jgn lupa singgah ye korg☺️ #fyp#foryou#foryoupage#fypシ#fypシ゚viral#trending#viral#tiktok#akaknasilemak ♬ Sholawat Jibril Penarikan Rezeki – Sholawat Official
Sejak memulakan perniagaan gerai tepi jalan itu, Mya turut membuat hebahan dengan berkongsi video menerusi media sosial.
Di laman TikTok, video ketika Mya sedang berniaga di gerainya bukan sahaja dihujani ribuan komen netizen, malah turut meraih sehingga 1.1 juta tontonan.
Kata Mya, dia sendiri terkejut dengan sambutan luar biasa itu dan menganggap ia sebagai satu permulaan yang baik untuk perniagaannya.
“Keluarga belah mak saya dari Terengganu kebanyakannya memang berniaga. Jadi, darah bisnes tu memang dah mengalir. Untuk bisnes nasi lemak saya, mak yang buatkan sambal. Alhamdulillah, sambutan sangat menggalakkan sampai tak menang tangan.
“Dekat gerai ramai yang beratur. Memang viral melampau-lampau. Walaupun dah habis, tetap ada orang beratur dan sanggup tunggu. Saya tak jangka gerai ini akan viral.
“Hari kedua berniaga, ramai yang serbu ‘datang’ daripada TikTok. Siap ada yang datang ambil gambar,” ujar Mya.
Lebih melucukan kata wanita itu, ada golongan lelaki turut mencuba nasib untuk berkenalan dengannya, namun dia menganggap semua itu sebagai gurauan semata-mata.
“Bab cari jodoh tu, banyak juga la, tak boleh dinafikan. Ada yang ajak kawhin, ada yang nak meminang. Siap ada yang tanya depan-depan, awak ni dah kahwin ke? Kalau dah kahwin tak nak cakap lebih-lebih, tapi kalau single nak kenal lebih.
“Selain yang depan-depan, ada juga yang hantar mesej nak berkenalan. Biasalah lelaki, saya anggap sebagai gurauan saja,” ujarnya.
Cabaran ibu tunggal
Di sebalik sambutan luar biasa, Mya berkata dia juga tidak terlepas menerima kecaman netizen di media sosial.
“Komen kecaman memang banyak. Ada yang kata saya jual muka, macam-macam orang fitnah. Tapi saya diam saja. Sebab mulut orang memang tak boleh nak tutup. Apa yang dikecam, saya ambil jadi pembakar semangat.
“Walaupun dikecam sejak dulu sehingga sekarang, saya tak akan berhenti. Bukannya saya minta makan dengan mereka. Asalkan saya cari rezeki halal.
“Buat ibu tunggal di luar sana, yang mana ada anak, jangan cepat berputus asa. Kita kena sentiasa berusaha. Kecaman orang kita letak ketepi, janji kita sentiasa berdoa dan berusaha,” ujarnya mengakhiri bicara.
Follow Twitter: https://twitter.com/GHBMEDIA_TV
Follow FB: https://www.facebook.com/SelayangPandangMedia