Ibu mangsa dedah perbuatan terkutuk PU Azman di mahkamah buat ramai warganet terkejut

Photo of author

By Joe

Ibu mangsa dedah perbuatan terkutuk PU Azman di mahkamah buat ramai warganet terkejut. Mahkamah Sesyen di sini yang memulakan hari pertama perbicaraan kes jenayah seksual membabitkan Pencetus Ummah (PU) Azman, hari ini mendengar pendedahan mengejutkan oleh ibu salah seorang mangsa mengenai perlakuan pendakwah selebriti itu terhadap anaknya.

Wanita itu memberi keterangan di hadapan Hakim Datin Surita Budin dengan pendakwaan kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Husni Fairos Ramly dan Goh Hsiao Tung, manakala tertuduh pula diwakili peguam, Mohamad Zahid Ahmad, Fahmi Adilah dan Norman Mohd Nasir.

PU Azman atau nama sebenarnya, Azman Syah Alias, 43, dihadapkan kali pertama ke mahkamah pada 12 Oktober 2022 atas lima pertuduhan melakukan amang seksual fizikal terhadap dua remaja lelaki pada Februari dan Julai tahun lalu.

Ibu mangsa dedah perbuatan terkutuk PU Azman di mahkamah buat ramai warganet terkejut

Dia didakwa melakukan amang seksual fizikal ke atas remaja berusia 16 dan 17 tahun itu dengan cara melakukan perbuatan kelucahan melampau di tandas dan ruang tamu sebuah rumah di Taman Tiara Sendayan di Nilai, dekat sini, pada 6 Julai 2022.

Saksi ketiga pendakwaan berusia 45 tahun itu, memberitahu dia mendapat tahu mengenai insiden membabitkan PU Azman pada 5 Februari 2022 di rumah penceramah berkenaan di Sendayan selepas dimaklumkan oleh anaknya sendiri yang ketika itu berusia 17 tahun.

“Anak saya cakap dia tak menipu. Dia duduk di ruang tamu kemudian Azman suruh ambil minyak di bilik tingkat atas rumah. Dia minta anak sapukan minyak itu di bahagian kemaluannya (anak) sebelum minta memasukkan kepadanya (Azman),” katanya.

Kata wanita itu lagi, dia mula mengetahui perbuatan tertuduh selepas didedahkan dalam satu pertemuan yang diatur oleh guru sekolah kebangsaan anaknya pada 27 Ogos 2022 di sebuah hotel di Shah Alam, Selangor yang turut disertai pendakwah bebas, Firdaus Wong.

Menurut saksi berkenaan, menerusi sembang di aplikasi Whatsapp di antara anaknya dengan tertuduh, dia mendapat tahu pendakwah bebas itu mahu menjadikan anaknya sebagai anak angkat.

“Anak saya kata nak pergi rumah Azman saja-saja. Dalam perbualan WhatsApp, dia nak jadikan anak saya sebagai anak angkat. Mulanya saya tak percaya sebab Azman seorang selebriti, tetapi anak saya meyakinkan (membenarkan) untuk ke rumah Azman,” katanya.

Azman turut berdepan tujuh lagi pertuduhan di Mahkamah Shah Alam, Klang dan Ampang, berhubung kesalahan jenayah seksual yang didakwa dilakukannya terhadap dua kanak-kanak dan seorang lagi remaja.

Sementara itu, bapa kepada salah seorang mangsa, memberitahu mahkamah, dia pada mulanya tidak percaya tertuduh yang disifatkan sebagai seorang beragama boleh melakukan perbuatan tidak bermoral itu.

Saksi kedua berusia 54 tahun itu, berkata anak keduanya iaitu remaja lelaki berusia 18 tahun, mengenali tertuduh sejak bersekolah rendah Tahun 6 selepas mengikuti kem motivasi dikendalikan PU Azman.

“Saya tahu mereka rapat dan ada berhubung, tapi tidak pasti sejauh mana. Kali pertama saya jumpa PU Azman ketika saya bersama isteri dan tiga anak lain hantar anak lelaki (mangsa) ke rumahnya di Sendayan pada 5 Februari 2022.

“Dia (mangsa) sendiri minta hantar ke sana sebab jauh dari rumah kami di Klang,” kata juruteknik sebuah kilang di Klang, Selangor itu sambil menambah, dia tidak mengesyaki apa-apa selepas menghantar anak lelakinya bermalam di rumah PU Azman.

Katanya, dia sempat meminta pendakwah itu supaya menasihati dan membimbing anaknya mengenai agama terutama berkaitan solat.

Saksi itu memberitahu mahkamah, dia hanya tahu anaknya menjadi mangsa ketika hadir pertemuan dengan seorang wanita yang juga guru agama sekolah rendah anaknya di sebuah hotel di Shah Alam pada 27 Ogos 2022.

“Isteri saya yang kenal ustazah itu. Ustazah memberitahu anak saya telah menjadi mangsa PU Azman, anaknya juga menjadi mangsa. Saya terkejut, marah, tak sangka dia sanggup buat perkara yang dilarang.

“Saya hanya tahu perkara ini daripada ustazah, anak tidak bercakap atau beritahu perkara ini,” katanya memaklumkan pertemuan di hotel itu dihadiri sembilan individu, termasuk isteri dan anak lelakinya, ustazah terbabit serta beberapa lagi individu tidak dikenalinya.

Disoal Husni Fairos sama ada dia percaya anaknya menjadi mangsa kes amang seksual, bapa empat anak itu, mengakui tidak percaya dengan mengambil kira tertuduh bergelar ‘ustaz’ tidak akan melakukan maksiat.

“Ustaz akan mendidik anak bangsa menjadi ummah yang baik. Sebelum ini saya tidak khuatir hantar anak bermalam di rumah PU Azman. Anak berubah menjadi tertekan pada akhir tahun lalu serta menyatakan hasrat mahu berhenti sekolah,” katanya.

Menurutnya lagi, dia menemani anak lelakinya membuat laporan polis pada 31 Ogos 2022 di Shah Alam atas persetujuan mangsa sendiri.

Terdahulu, saksi pertama pendakwaan, jurufoto Jabatan Siastan Jenayah Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Negeri Sembilan, Lans Koperal Mohd Nor Arif Mohd, 38, memberi keterangan dan mengemukakan gambar tempat kejadian serta barang rampasan, iaitu permaidani dan satu botol.

Difahamkan, seramai 26 saksi dijangka dipanggil sepanjang perbicaraan kes yang ditetapkan sehingga 28 Julai.

Baca Lagi:
Sanusi dedah dalam kenderaannya ada pistol sepanjang masa
Rakaman ular sawa gergasi ditemui dalam tasik Ayer Keroh buat ramai rasa seram sejuk
Isteri mahu cerai selepas 20 tahun bela biawak hidup, sekali peguam dedah kenapa suami enggan bagi kerjasama rupanya..