Ibu dedah kakitangan pusat jagaan tidur semasa bekerja, anak OKU makan sisa tong sampah. Seorang anak Orang Kurang Upaya (OKU) yang mempunyai masalah pembelajaran dilihat sedang makan dari tong sampah, dan ia tular menerusi satu rakaman video setelah ibunya syak bahawa anaknya itu diabaikan oleh kakitangan rumah jagaan.
Malah, staf rumah jagaan itu juga didapati tidur ketika bekerja dan mengabaikan lelaki OKU yang berusia 23 tahun itu. Perkara ini terbongkar selepas ibunya memasang kamera di dalam bilik anaknya itu.
Kejadian tersebut berlaku di sebuah rumah jagaan di Conventry, England. Biarpun ia adalah syarikat swasta, rumah pusat jagaan itu memperoleh sebahagian besar wangnya daripada kontrak penjagaan yang dibiayai oleh pembayar cukai dengan majlis tempatan.
Menurut siasatan sumber, pemuda OKU itu hidup dengan gangguan bipolar dan autism yang disebabkan oleh kejadian genetik yang jarang berlaku.
Ibu kepada Connor, Lindasay melakukan tindakan sedemikian setelah mendakwa dia bimbang selepas anaknya hilang dari rumah jagaan dan ditemui hampir 2 kilometer jauhnya.
“Kami dapat rasa ada sesuatu yang tidak kena. Dia akan melarikan diri mengatakan dia tak mahu kembali. Berat badannya naik.”
Sumber melaporkan bahawa pemuda OKU itu tinggal di sebuah kediaman yang merupakan perumahan sokongan bagi orang dewasa yang mengalami masalah pembelajaran, dan mempunyai kira-kira 4,000 penghuni.
Beberapa hari selepas dia meletakkan kamera di bilik anaknya, ibunya mendapati anaknya sedang memakan sesuatu dari tong sampah selama hampir sejam tanpa pengawasan pengasuh.
Walaupun dia sepatutnya tidak dibiarkan tanpa pengawasan, kamera tersebut juga merakam kakitangan yang berulang kali tidur semasa bekerja.
“Saya rasa loya. Dia memerlukan penjagaan seseorang atas sebab tertentu. Itu anak saya. Kakitangan sepatutnya berada di sana menjaga dia.”
Dedah ibunya lagi, kakitangan tersebut mengejeknya sambil menghisap vape selain daripada menjerit di mukanya dan mengabaikannya setiap hari.