Ibu bapa tak ada hati perut, sanggup biarkan anak umur 13 tahun tidur tepi koridor dan berak di tangga flat. Baru-baru ini, berita viral mengenai seorang remaja lelaki yang didakwa ditinggalkan sendirian oleh keluarganya berlegar di Pasir Gudang, Johor.
Foto yang tersebar menunjukkan seorang remaja lelaki berusia 13 tahun terpaksa tidur di koridor flat tempat tinggalnya.
Difahamkan remaja tersebut telah beberapa hari tidak dibenarkan masuk ke dalam rumahnya, sehingga terpaksa mandi di tandas awam. Lebih teruk lagi, dia perlu membuang air besar di kawasan tangga premis flat tersebut.
Jiran juga mendedahkan bahawa remaja itu adalah seorang anak yang baik walaupun menghadapi perlakuan tersebut; dia tetap menghadiri sekolah setiap hari.
“Budak ni tak dibenarkan masuk rumah dan hampir 3 hingga 4 hari tak balik. Ini bukan kali pertama dia dihalau, tapi sudah berulang kali. Dia terpaksa buang air besar di tangga kerana tak dapat masuk rumah.
“Makanan pun jiran-jiran memberi atas belas kasihan. Tapi ibu bapa dia buat bodoh saja,” kongsi seorang individu yang dipercayai jiran kepada media dalam grup Facebook Komuniti Taman Air Biru.
Menurut laporan Harian Metro, Ketua Polis Daerah Seri Alam, Superintendan Mohd Sohaimi Ishak, menyatakan bahawa ibu bapa terbabit telah ditahan pada jam 10.30 malam kerana disyaki mengabaikan remaja itu sejak 7 Julai yang lalu.
“Polis yang menjalankan siasatan mengenai kes itu telah menyelamatkan remaja tersebut semalam, selepas menemui video viral yang berkaitan dengan kejadian itu.
“Siasatan awal mendapati suspek lelaki mempunyai dua rekod jenayah sebelum ini, tetapi ujian dadah awal terhadap kedua-dua mereka adalah negatif,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Mohd Sohaimi juga menyatakan bahawa kes tersebut sedang disiasat mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.
Beliau menambah bahawa suami isteri tempatan tersebut telah diletakkan di bawah tahanan reman selama lima hari bermula hari ini.