Ibu bapa bengang sekolah ‘back up’ mak cik kantin tak pulangkan duit baki anak. SEORANG ibu tidak berpuas hati selepas anaknya didakwa kerap menjadi mangsa penipuan peniaga kantin di sebuah sekolah baru-baru ini.
Menerusi hantaran yang dikongsikan di X @sarinizainal pada Ahad, kejadian penipuan tersebut berlaku ketika proses memulangkan baki wang kepada kanak-kanak itu.
Menurutnya, kes baki duit anak tidak dipulangkan oleh peniaga tersebut sering terjadi kepada murid sekolah lain yang membeli makanan di kantin berkenaan.
Lebih membangkitkan kemarahan apabila pihak sekolah dikatakan tidak mengambil sebarang tindakan tegas terhadap peniaga yang menjalankan perniagaan di sekolah.
“Bayangkan, sehari dengan RM5, dapat makan satu paket kentang yang hanya ada 10 jejari kentang? Dalam mesyuarat Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG), ketua-ketua berusaha untuk memperhalusi pemasangan kamera litar tertutup (CCTV).
“Mereka mahu mengumpul duit ibu bapa sebanyak RM10 sebulan untuk penyelenggaraan, melancarkan aplikasi transaksi tanpa tunai, dan akhirnya ada yang berkata ibu bapa perlu mendidik anak-anak,” dakwanya.
Menurutnya, walaupun perkara itu tidak berlaku kepada anaknya, dia sebagai wakil ibu bapa menggesa pihak sekolah untuk meneliti semula pemilihan peniaga yang menjalankan operasi di kantin sekolah.
Pengguna tersebut juga menyarankan pihak sekolah menukar kakitangan kantin sekiranya mereka melanggar peraturan atau melakukan kesalahan.
“Isu ini adalah masalah dengan makcik kantin. Menipu budak-budak sudah banyak kali, itu belum termasuk kes marah-marah. Kenapa perlu drag isu ini jauh-jauh? Adakah ada laporan jualan dari kantin?
“Adakah surat amaran telah dihantar? Kalau kantin tidak kompeten, tidak perlu diteruskan operasi mereka, beri peluang kepada orang lain,” tulisnya.
Selain itu, pengadu mendakwa sistem tender kantin, terutamanya di sekolah kebangsaan, terlalu selesa dan lemah.
Setakat ini, pihak sekolah belum mengeluarkan sebarang kenyataan berhubung dakwaan tersebut.