Hulk Hogan risau Mike Tyson maut di tangan pemuda umur 27 tahun. Hulk Hogan melahirkan kebimbangannya mengenai pertarungan antara Mike Tyson dan Jake Paul dengan mendakwa bekas selebriti YouTuber itu mungkin menjadi ‘pembunuh’ ketika menentang Iron Mike pada bulan November depan.
Hogan, yang merupakan rakan rapat Tyson dan seorang legenda gusti profesional, bimbang dengan jurang usia ketara di antara mereka, iaitu 58 tahun berbanding 27 tahun, apatah lagi dengan masalah kesihatan Tyson baru-baru ini yang boleh mendatangkan bahaya kepada ikon tinju tersebut.
Hogan menyuarakan kerisauannya semasa siaran podcast kelmarin, dan merujuk kepada Paul sebagai terlalu kuat serta menakutkan sebelum menegaskan bahawa dia mampu ‘membunuh’ Tyson di gelanggang.
Komen Hogan itu adalah susulan status kesihatan Tyson pada bulan Mei lalu, yang menyebabkan pertarungannya dengan Paul, yang sepatutnya berlangsung pada bulan Julai, ditunda ke bulan November depan.
Tyson yang berusia 58 tahun didapati tidak sihat, termasuk mengalami pening dan mual semasa dalam penerbangan dari Miami ke Los Angeles, sehingga memaksa kru kabin membuat pengumuman meminta bantuan doktor di kalangan penumpang.
Namun, Iron Mike menegaskan bahawa dia lebih daripada berkemampuan untuk bertarung dengan Paul dan meminta peminat tidak risau mengenai tahap kesihatannya menjelang pertarungan pada bulan November depan.