Hizbullah sahkan Hassan Nasrallah gugur syahid di tangan Israel. Rejim Zionis telah melancarkan gelombang serangan baru ke atas Lubnan pada hari Sabtu, sehari selepas meningkatkan kempen pengeboman di pinggir selatan negara tersebut.
Serangan bertalu-talu itu meragut nyawa Setiausaha Agung Hizbullah, Sayyed Hassan Nasrallah, selepas Pasukan Pertahanan Israel (IDF) menyasarkan pemimpin yang merupakan sekutu utama Iran.
Hizbullah mengesahkan berita tersebut selepas sumber dekat gerakan itu memberitahu bahawa beliau tidak dapat dihubungi selama dua hari.
“Pemergian beliau yang telah memimpin gerakan ini selama lebih 30 tahun adalah satu kehilangan besar,” kata jurucakap Hizbullah dalam kenyataannya.
Sebelum itu, jurucakap IDF, Leftenan Kolonel Nadav Shoshani, mengumumkan melalui platform X bahawa Nasrallah terkorban dalam serangan udara di Beirut.
Insiden ini menggoncang rantau Asia Barat selepas Ismail Haniyeh dari Hamas juga gugur syahid di Teheran pada akhir Julai lalu.
Wakil media antarabangsa melaporkan lebih 30 serangan udara dilancarkan, memaksa komuniti di pinggir Beirut berlindung di dataran, taman awam, dan kawasan tepi pantai.
Hujan peluru selama lebih lima jam itu berlaku pada awal pagi dan menghancurkan beberapa blok kediaman di Haret Hreik di Dahiyeh, dianggap sebagai serangan paling ganas sejak konflik rentas sempadan bermula hampir setahun lalu.
IDF mendakwa bahawa siri serangan tersebut menyasarkan kemudahan simpanan senjata Hizbullah yang terletak di bawah bangunan kediaman awam, alasan yang sama yang diberikan ketika membedil hospital di Gaza yang didakwa menjadi markas pejuang Hamas.
Sejak beberapa hari lalu, fokus operasi ketenteraan untuk menghapuskan Hamas di Gaza telah beralih ke Lubnan, di mana kempen pengeboman tanpa henti telah meragut lebih 700 nyawa dan menyebabkan kira-kira 118,000 orang hilang tempat tinggal.