Hilang kepercayaan terhadap Annuar Musa, Muafakat Nasional Sabah bubar. Muafakat Nasional (MN) Sabah yang telah ditubuhkan sejak dua tahun lalu dibubarkan hari ini selepas kehilangan kepercayaan terhadap kepemimpinan presidennya, Tan Sri Annuar Musa.
Pengerusi MN Sabah, Jismit Japong, berkata beliau bersama 30 ahli jawatankuasa (AJK) protem MN negeri meletakkan jawatan masing-masing berkuat kuasa hari ini.
Beliau menyatakan bahawa tindakan ini diambil sebagai tanda ketidakpuasan hati terhadap layanan MN Pusat, termasuk rasa kecewa terhadap layanan Annuar yang didakwanya tidak adil.
“Hari ini saya meletakkan jawatan dan membubarkan protem MN Sabah kerana beberapa sebab yang kami tidak boleh terima.”
“Kami telah menilai dengan panjang lebar tindakan MN Pusat di bawah pimpinan Tan Sri Annuar Musa yang seolah-olah membelakangkan dan tidak menghormati MN Sabah, seolah-olah MN Sabah tidak wujud,” katanya pada sidang media di sini hari ini.
Beliau berkata keputusan tersebut telah dipersetujui oleh semua AJK MN Sabah dalam mesyuarat terakhir mereka semalam.
Difahamkan bahawa keputusan ini dibuat menjelang kehadiran Annuar ke Sabah yang dijadualkan menghadiri Konvensyen PAS Sabah pada hari Sabtu ini.
Jismit berkata, beliau juga merasa terkilan kerana MN Sabah tidak dimaklumkan mengenai pelantikan dua Ahli Dewan Tertinggi MN dari Sabah, sedangkan MN Pusat sebelum ini telah memberi mandat autonomi kepada MN Sabah.
“Pelantikan ini bercanggah dengan prinsip dan konsep MN yang mana perkara berkaitan pengurusan dan pentadbiran MN Sabah perlu dibincangkan bersama.
“Oleh sebab itu, kami kehilangan kepercayaan terhadap MN, kepemimpinan AJK MN Pusat, dan kepemimpinan Tan Sri Annuar Musa sebagai Pengerusi MN Pusat,” katanya.
Menurutnya, MN Sabah kini dianggotai kira-kira 30,000 ahli, yang menggambarkan penerimaan rakyat di negeri ini semakin baik.
Namun, katanya, layanan tidak adil dari MN Pusat terhadap MN Sabah telah mengecewakan mereka dan menyebabkan keputusan untuk menamatkan riwayat badan bukan kerajaan (NGO) itu di negeri ini.
Sementara itu, katanya, berbeza dengan MN di Semenanjung yang bersikap anti-kerajaan, MN Sabah di bawah pimpinannya mengambil pendekatan mesra dengan kerajaan negeri.
“MN Sabah ini bebas, sama ada ahli UMNO, Gabungan Rakyat Sabah (GRS), Warisan, atau mana-mana parti boleh menyertainya kerana ia adalah sebuah NGO.
“Kami tidak memburukkan kerajaan atau wakil rakyat, tidak seperti MN di Semenanjung. Kami benar-benar mengamalkan muafakat,” katanya.
Berikutan pembubaran ini, katanya mereka merancang untuk menubuhkan sebuah NGO baharu yang memfokuskan kepada kebajikan dan peningkatan ekonomi Sabah.
Katanya, surat pembubaran MN Sabah akan diserahkan kepada MN Pusat dalam tempoh 14 hari bermula hari ini dan menegaskan bahawa keputusan ini adalah muktamad.