Hidup dalam buangan, ini senarai 10 pemimpin dunia yang larikan diri dari negara sendiri

Photo of author

By Joe

Hidup dalam buangan, ini senarai 10 pemimpin dunia yang larikan diri dari negara sendiri. Kes pemimpin yang melarikan diri dari tanah air selepas berundur atau digulingkan akibat protes bukanlah perkara baharu.

Ada pihak yang melihat tindakan ini sebagai pengecut, sementara segelintir berpendapat ia adalah usaha untuk menyelamatkan diri daripada kekacauan yang timbul.

Baru-baru ini, komuniti antarabangsa digemparkan dengan siri protes ganas yang melanda Bangladesh, yang turut menghadapi situasi yang sama.

Hidup dalam buangan, ini senarai 10 pemimpin dunia yang larikan diri dari negara sendiri

Berikut adalah 10 pemimpin yang nekad meninggalkan negara dan hidup dalam buangan:

1. Bekas PM Bangladesh, Sheikh Hasina

Pemimpin yang telah memegang jawatan selama lima penggal ini akhirnya akur dengan desakan penunjuk perasaan. Beliau melepaskan jawatan dan melarikan diri ke India selepas kediaman rasminya diserbu oleh peserta protes. Menurut laporan media, Hasina, 76, memohon suaka politik di Britain.

2. Bekas Presiden Brazil, Jair Bolsonaro

Bolsonaro, 69, terbang ke Amerika Syarikat (AS) sehari sebelum penggal pemerintahan dijadualkan berakhir pada 31 Disember 2022 dan untuk mengelakkan majlis pelantikan penggantinya, Luiz Inacio Lula da Silva. Tempoh hidup dalam buangan beliau tamat pada Mac 2023 dan beliau kembali ke tanah air. Kini, Bolsonaro berdepan beberapa kes mahkamah.

3. Bekas Presiden Sri Lanka, Gotabaya Rajapaksa

Pada Julai 2022, pentadbiran beliau berdepan dengan bantahan ganas akibat krisis ekonomi yang teruk di negara Asia Selatan itu. Tindakan penunjuk perasaan menyerbu kediamannya menyebabkan Rajapaksa, 75, melarikan diri ke Maldives sebelum terbang ke Singapura dan berada di Thailand selama beberapa minggu. Pada September tahun sama, beliau kembali ke tanah air dan berdepan beberapa kes mahkamah.

4. Bekas Presiden Afghanistan, Ashraf Ghani

Pengambilalihan kuasa oleh Taliban pada Ogos 2021 telah menamatkan pentadbiran beliau. Ghani, 75, melarikan diri ke Tajikistan dan ke Uzbekistan sebelum diterima Emiriah Arab Bersatu (UAE) atas dasar kemanusiaan serta kekal di negara Teluk itu hingga kini.

5. Bekas PM Thailand, Yingluck Shinawatra

Yingluck Shinawatra menjadi Perdana Menteri wanita pertama di Thailand dari 2011 hingga 2014. Beliau didakwa dengan beberapa tuduhan termasuk penyalahgunaan kuasa. Yingluck, 57, melarikan diri ke Britain selepas insiden rampasan kuasa dan kini hidup dalam buangan di negara tersebut walaupun tuduhan rasuah terhadapnya telah digugurkan.

6. Bekas PM Ukraine, Mykola Azarov

Pada tahun 2013, penunjuk perasaan mengadakan bantahan antikerajaan kerana pemerintah tidak menandatangani perjanjian perdagangan bebas yang akan mempereratkan hubungan dengan Rusia. Azarov, 76, meletakkan jawatan ketika protes semakin memuncak dan kini hidup dalam buangan di Moscow, serta menubuhkan Jawatankuasa Penyelamat Kiev.

7. Bekas Presiden Ukraine, Viktor Yanukovych

Ketika bantahan dilancarkan terhadapnya pada tahun 2014, seramai 100 penunjuk perasaan terkorban dalam pertempuran dengan pihak berkuasa. Populariti Yanukovych, 74, merudum pada Februari tahun yang sama dan beliau disingkirkan serta melarikan diri ke Rusia, di mana beliau kini hidup dalam buangan.

8. Bekas Presiden Pakistan, Pervez Musharraf

Pada Ogos 2008, Musharraf meletakkan jawatan selepas mencapai perjanjian dengan tentera. Dua bulan selepas itu, beliau terbang ke Britain dan kembali semula ke Islamabad pada tahun 2013. Beliau hilang kelayakan untuk bertanding pilihan raya dan kemudian melarikan diri ke UAE. Pada tahun 2023, Musharraf meninggal dunia di Dubai pada usia 79 tahun.

9. Bekas PM Pakistan, Nawaz Sharif

Pada tahun 1999, Musharraf menggulingkan kerajaan pimpinan Sharif. Sharif dipenjarakan selama setahun dan hidup dalam buangan di Arab Saudi sehingga 2007. Pada tahun 2013, beliau menjadi Perdana Menteri untuk kali ketiga, tetapi kerajaannya ditumbangkan kerana tuduhan rasuah. Pada tahun 2018, Sharif, 74, dipenjarakan dan dibenarkan melakukan perjalanan ke Britain untuk rawatan setahun selepas itu. Selepas kembali ke tanah air pada tahun lalu, beliau kembali aktif dalam politik, dengan adiknya, Shehbaz, 72, dilantik sebagai Perdana Menteri.

10. Bekas PM Pakistan, Benazir Bhutto

Sejak tahun 1999, Bhutto hidup dalam buangan di UAE selama lebih lapan tahun. Beliau menjadi pemimpin pembangkang ketika Musharraf menggulingkan pentadbiran Sharif. Pada usia 54 tahun, Bhutto terkorban dalam pengeboman yang dilancarkan oleh penyerang bunuh diri ketika beliau berkempen berhampiran ibu kota Islamabad pada Disember 2007.

Baca Lagi:
Lelaki terkejut beli rumah lama jumpa gelang emas seberat 19.53 gram ketika buat kerja pembersihan
Rakyat Malaysia di Jepun diarah siap sedia hadapi gempa bumi mega
Berkat guna duit sumbangan orang kampung ke Olimpik, lelaki ini bawa pulang pingat emas pertama dalam tempoh 32 tahun