Hasil ulang-alik 14 tahun kerja di Singapura, bapa 3 anak kini miliki 3 hartanah di Malaysia. Meredah kesesakan Koswe dengan menunggang motosikalnya telah menjadi rutin harian Encik Mohd Aminurashid Ali Akbar sepanjang 14 tahun lalu.
Berkat usaha gigihnya yang mengorbankan masa dan tenaga, bapa kepada tiga anak perempuan itu kini memiliki tiga hartanah di Malaysia, hasil titik peluhnya bekerja di Singapura.
Satu hartanah digunakan sebagai tempat tinggal keluarganya, manakala dua lagi disewakan dengan harapan dapat menjana pendapatan sampingan untuk keluarga mereka.
Encik Aminurashid, 36 tahun, bercita-cita untuk bersara awal supaya dapat ‘menebus’ masa yang hilang bersama isteri dan anak-anaknya akibat komitmen kerja.
Ketika dihubungi Berita Minggu (BM), Encik Aminurashid berkata bahawa banyak cabaran yang perlu dihadapinya untuk mencapai tahap ini, antaranya beliau sering keluar rumah dalam keadaan gelap dan pulang juga dalam keadaan gelap.
Setiap hari, beliau bangun pada pukul 4.30 pagi dan keluar rumah sekitar pukul 5 pagi.
“Saya keluar awal kerana pada waktu itu, keadaan di kastam masih agak baik dan tidak terlalu sesak.”
“Saya sampai ke tempat kerja sekitar pukul 6 pagi, solat subuh, dan kemudian sarapan. Saya akan tidur sebentar sebelum mula bekerja pada pukul 8 pagi,” ujar penyelia pentauliahan dalam sektor perkapalan dan marin itu.
Biasanya, Encik Aminurashid bekerja lebih masa sehingga pukul 6.45 petang sebelum sampai ke rumahnya di Gelang Patah, Johor Bahru, sekitar pukul 8 malam.
Ketika ditanya tentang tempoh paling mencabar yang dihadapinya, beliau berkata ia adalah semasa pandemik Covid-19 yang memaksanya berjauhan daripada isteri serta tiga anak perempuannya, termasuk satu yang mengalami autisme.
“Saya pernah rasa nak berhenti kerja, tetapi apabila difikirkan semula, bagaimana saya nak membantu keluarga tanpa pekerjaan?
“Jadi, saya tawakal dan berserah kepada Allah. Isteri saya banyak memberi semangat dan mengingatkan saya tentang anak kami yang istimewa.
“Beliau beritahu saya, ‘teruskan sahaja, jangan putus asa’,” ujarnya, yang berkata keluarganya merupakan pendorong utama sepanjang tahun-tahun ini.
Isterinya, Cik Siti Nurzarina Abu Zarim, 38 tahun, berkata sebagai isteri, beliau juga perlu memainkan peranan dan memahami keadaan suaminya yang bekerja sebagai buruh kasar.
“Kadangkala beliau bekerja tujuh hari berturut-turut, jadi saya perlu menguruskan anak-anak sendiri.
“Saya perlu berkorban perasaan, tenaga, dan emosi. Saya juga selalu risau tentang keselamatannya kerana setiap hari beliau mengerah tenaga dan ulang-alik dengan motosikal.
“Saya hanya dapat berdoa agar beliau selamat sampai ke tempat kerja dan selamat pulang ke pangkuan keluarga,” ujarnya.
Menceritakan perjalanan hidupnya, Encik Aminurashid berkongsi bahawa beliau asalnya bekerja di sebuah kilang sawit di Malaysia sebelum bertukar pekerjaan di Singapura, yang menyebabkan peningkatan pendapatan sebanyak RM700.
Walaupun bermula dengan gaji asas serendah $950, terutama dengan mata wang Malaysia yang agak kukuh pada waktu itu, Encik Aminurashid memutuskan untuk mengambil kursus di Institut Pendidikan Teknikal (ITE) di Singapura untuk menimba kemahiran baru dan meningkatkan kelayakannya.
Berkat usaha dan dedikasinya, beliau berjaya memanjat tangga kerjaya dan menerima kenaikan gaji.
Ditanya tentang nasihat yang beliau berikan kepada mereka yang baru bermula mencari rezeki di Singapura, Encik Aminurashid berkata:
“Jangan cepat putus asa. Masa muda adalah waktu yang baik untuk mengumpul dan menyimpan duit.
“Penting juga untuk sentiasa beringat. Kita orang Malaysia tidak mempunyai CPF (Tabung Simpanan Pekerja), jadi perlu rajin dan berdisiplin dalam menyimpan duit untuk hari-hari tua.”