Hasil jualan 28 hari di TikTok cecah RM7 juta, siapa sebenarnya ‘jungle girl’ ni? Sejak beberapa hari lalu, nama Jungle Girl menjadi bualan ramai apabila tular tentang jangkaan hasil jualan TikTok yang mencecah RM1 juta dalam tempoh seminggu.
Dalam keghairahan orang ramai bercakap mengenai jumlah itu, ada kelompok yang melihat dari sudut pandang yang berbeza.
Difahamkan dalam tempoh 28 hari, Jungle Girl berjaya mengumpul RM7.4 juta hasil jualan daripada tiga akaun TikTok Shop dan ejen affiliate.
Menurut hantaran Facebook Rahim Sabri, Jungle Girl perlu menyiapkan tempahan sebanyak 400,000 botol (RM35 untuk dua botol) untuk dihantar kepada pelanggannya.
Ini bermakna Jungle Girl perlu membungkus purata 14,000 botol sehari bagi menyiapkan tempahan tersebut.
Tambah netizen lagi, sekiranya gadis itu membuat siaran langsung setiap hari, pasti beliau mempunyai pasukan yang menguruskan bahagian pembungkusan dan pengeposan.
Warganet juga mendakwa bahawa beliau pasti mempunyai ‘modal yang kuat’ kerana TikTok hanya membuat bayaran kepada pencipta kandungan selepas pelanggan menerima barangan mereka.
Menurut satu rangkaian komen yang ditinggalkan oleh seorang warganet, produk minyak Jungle Girl telah berdaftar dengan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).
Pada masa yang sama, hasil carian individu itu mendapati produk Jungle Girl dihasilkan oleh sebuah kilang OEM kosmetik yang berdaftar di Kelantan. Ini menjelaskan mengapa wanita berkenaan sering menyebut “guna resipi daripada saya” apabila disoal oleh orang ramai.
“Jadi, anda boleh terus menyokong produknya. Jika sesiapa berminat untuk membuat produk dalam kapasiti yang besar dan memerlukan sokongan konsultasi yang kukuh, boleh berurusan dengan syarikat tersebut,” ujar warganet itu.