“Hari gelap untuk saya”, Yasin Sulaiman dihukum penjara seumur hidup dan 16 sebatan. Komposer dan penyanyi Yasin Sulaiman dijatuhi hukuman penjara seumur hidup serta 16 sebatan oleh Mahkamah Tinggi hari ini selepas didapati bersalah atas tiga pertuduhan dadah yang dihadapinya, dua tahun lalu.
Hakim Datuk Norsharidah Awang menjatuhkan hukuman tersebut setelah membenarkan rayuan pendakwaan yang mencabar keputusan Hakim Mahkamah Sesyen Petaling Jaya, Faiz Dziyauddin, yang sebelum ini telah melepas dan membebaskan Yasin, yang juga dikenali dengan nama sebenar Muhammad Yasin Sulaiman, 48.
Yasin, yang sebelum ini telah ditempatkan di Hospital Bahagia Ulu Kinta, Perak selama tempoh yang diperkenankan oleh Sultan Selangor, kini digari oleh pihak polis dan dibawa terus ke Penjara Kajang.
“Ini adalah hari gelap untuk saya,” ujar Yasin.
“Hari ini adalah hari yang gelap untuk saya,” kata Yasin sebaik sahaja dibawa oleh polis.
Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Raja Zaizul Faridah Raja Zaharudin dan Ahmad Zuhaini Mahamad Amin, manakala Yasin diwakili oleh peguam Ariff Azami Hussein.
Mengikut pertuduhan pertama yang baharu, Yasin didakwa kerana memiliki dadah berbahaya jenis Kanabis seberat 193.7 gram di sebuah kondominium di Persiaran Surian Damansara Indah Resort Home, PJU 3, Kota Damansara pada jam 5.30 petang, 24 Mac 2022.
Bagi kesalahan tersebut, Yasin didakwa mengikut Seksyen 6 Akta Dadah Berbahaya 1952 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 39A(2) akta yang sama, yang memperuntukkan hukuman penjara seumur hidup atau tidak kurang lima tahun, serta hukuman sebat tidak kurang 10 sebatan jika sabit kesalahan.
Untuk pertuduhan kedua, Yasin didakwa kerana menanam 17 pokok dalam pasu plastik berisi tanah yang daripadanya Kanabis diperoleh secara terus atau tidak langsung, pada tempat, waktu, dan tarikh yang sama. Pertuduhan ini mengikut Seksyen 6B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952, yang boleh dihukum di bawah Seksyen 6B(3) akta yang sama, dan Kanun Keseksaan.
Hukuman bagi seksyen tersebut memperuntukkan penjara seumur hidup dan sebatan tidak kurang daripada enam kali jika sabit kesalahan.
Pertuduhan ketiga, Yasin didakwa kerana memberikan dirinya dadah berbahaya jenis ’11-nor-delta-9 tetrahydrocannabinol-9-carboxylic acid’ di Pejabat Narkotik Ibu Pejabat Daerah (IPD) Petaling Jaya pada jam 11.05 malam pada tarikh yang sama.
Bagi kesalahan ini, pertuduhan dikemukakan di bawah Seksyen 15 (1)(a) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952, yang boleh dihukum di bawah Seksyen 15 (1) akta yang sama. Hukuman yang dikenakan adalah denda tidak melebihi RM5,000 atau penjara maksimum dua tahun, jika sabit kesalahan.
Untuk pertuduhan kedua mengikut Seksyen 6B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952, mahkamah menjatuhkan hukuman penjara seumur hidup dan enam sebatan. Manakala untuk pertuduhan ketiga di bawah Seksyen 15 (1)(a) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952, Yasin dijatuhi hukuman penjara selama 10 bulan.
Hakim Norsharidah turut memerintahkan semua hukuman itu berjalan serentak dari tarikh tangkapan pada 24 Mac 2022.
Dalam penghakimannya, Norsharidah berkata bahawa pasukan pendakwaan telah berjaya membuktikan kes prima facie di Mahkamah Sesyen dan Yasin, sebagai responden, dipanggil untuk membela diri di akhir kes pendakwaan.
“Namun begitu, responden memilih untuk berdiam diri dan hanya memanggil seorang saksi pakar, iaitu saksi pembelaan pertama, Dr Ian Lloyd Anthony, Pakar Perunding Forensik Psikiatri dari Hospital Bahagia Ulu Kinta, dalam pembelaannya.
“Isu di sini adalah sama ada Mahkamah Sesyen boleh membuat dapatan hanya bergantung kepada keterangan SD1 dan juga jika responden memilih untuk berdiam diri.
“Dalam kes ini, responden memilih untuk tidak mengemukakan keterangan terhadap dirinya yang dikatakan tidak sempurna akal mengikut ‘legal insanity’,” katanya.
Menurutnya, beban pembuktian bahawa Yasin tidak sempurna akal masih terletak pada responden untuk mengemukakan keterangan pakar dan keadaan responden semasa kejadian.
“Saksi pendakwaan ketujuh, Prof Dr S. Sreeramanan, pakar bioteknologi tumbuhan, memberikan keterangan mengenai pokok kanabis yang dirampas dari rumah responden serta alatan yang ditemui di rumah itu yang konsisten digunakan dalam penanaman pokok kanabis.
“Keterangan SP7 menunjukkan bahawa penanaman pokok kanabis memerlukan beberapa minggu dengan penjagaan rapi, dan ini membuktikan bahawa responden mempunyai pengetahuan yang mencukupi, serta menunjukkan bahawa keadaan kesihatan mentalnya adalah waras ketika ditahan oleh pegawai risikan, Inspektor Darwis Aripin,” jelasnya.
Norsharidah menambah, responden hanya bergantung pada keterangan SD1 untuk pembelaan, dan keterangan serta laporan psikiatri yang disediakan oleh SD1 tidak mencukupi untuk menyokong pembelaan responden sebagai tidak sempurna akal.
“Tiada keterangan yang menyokong apa yang diperkatakan oleh SD1 dalam laporan beliau. Laporan psikiatri hanya disediakan oleh SD1 lebih setahun selepas kejadian dan tidak mencukupi untuk menyokong pembelaan,” katanya.
Norsharidah berkata, keterangan Dr Ian Lloyd adalah berdasarkan sesi temubual dengan responden semasa tempoh pemerhatian di Hospital Bahagia.
“Laporan SD1 tertumpu kepada psikiatri dan tidak menyokong pembelaan. Mahkamah tidak terikat dengan dapatan saksi pakar kerana peranan saksi pakar hanyalah untuk membantu mahkamah membuat keputusan,” katanya.
Beliau menambah bahawa penanaman ganja yang dilakukan responden mengambil masa untuk tumbuh membesar, menunjukkan bahawa responden tidak berada dalam keadaan tidak waras.
“Berdasarkan keterangan daripada saksi pendakwaan dan pembelaan, mahkamah berpendapat bahawa hakim Mahkamah Sesyen terkhilaf dalam membuat keputusan melepas dan membebaskan responden. Oleh itu, rayuan pendakwaan dibenarkan dan tertuduh disabitkan bersalah,” katanya.