Harga minyak sawit dijangka cecah RM4,100 satu tan menjelang akhir tahun 2024. Harga minyak sawit mentah (MSM) dijangka berlegar sekitar RM3,800 satu tan hingga RM4,100 satu tan menjelang akhir tahun ini, menurut penganalisis.
Peniaga Proprietari Iceberg X Sdn Bhd, David Ng, berkata harga MSM kekal berada pada kedudukan yang baik di atas paras RM3,700 satu tan pada masa ini.
Beliau berkata, harga komoditi itu mempunyai potensi untuk terus mengukuh didorong oleh sentimen jangka pendek.
“Pengeluaran yang lebih perlahan mungkin menurunkan paras stok keseluruhan di negara ini, yang akan memberi kesan positif kepada harga,” katanya.
Permintaan yang kukuh dari India adalah satu lagi faktor utama yang menyokong harga. Kami menjangkakan harga akan diniagakan antara RM3,800 dan RM4,100 menjelang akhir tahun ini,” katanya.
Harga MSM meningkat baru-baru ini akibat prospek pertumbuhan pengeluaran sawit yang dijangkakan lemah di negara ini.
Peningkatan harga MSM juga disebabkan oleh ketegangan yang meningkat di Asia Barat serta petunjuk yang lebih jelas mengenai pengurangan kadar faedah di Amerika Syarikat (AS) pada bulan ini.
Kontrak bulan semasa MSM bagi September 2024 melepasi paras RM4,000 pada Isnin minggu lalu dan ditutup pada paras RM4,021 satu tan, manakala kontrak penanda aras, November 2024 ditutup pada paras RM3,924 satu tan.
Pada penutup dagangan minggu lalu, kontrak bulan semasa September 2024 meningkat RM28 kepada RM4,075 satu tan, Oktober 2024 naik RM35 kepada RM4,015 satu tan dan November 2024 menokok RM37 kepada RM3,977 satu tan.
Kontrak Disember 2024 bertambah RM33 kepada RM3,945 satu tan, Januari 2025 menokok RM26 kepada RM3,924 satu tan dan Februari 2025 melonjak RM18 kepada RM3,910 satu tan.
Ini menjadikan harga niaga hadapan sawit Malaysia mencatatkan kenaikan bulanan pertama dalam tempoh tiga bulan, didorong oleh harga kontrak minyak pesaing yang lebih tinggi.
Dalam pada itu, peniaga juga sedang menunggu perkembangan dari Indonesia dan India mengenai cukai eksport dan import.
RHB Research dalam nota penyelidikannya baru-baru ini berkata, tahap inventori di Malaysia susut 5.4 peratus kepada 1.73 juta tan berikutan kegiatan eksport yang lebih rancak, namun diimbangi oleh kadar pengeluaran yang lebih tinggi.
Ia menjangkakan tahap inventori akan beransur pulih dan mungkin mencecah paras dua juta tan sekitar November hingga Disember ini sekiranya tiada masalah cuaca yang tidak diduga seperti fenomena La Nina.
“Saranan sektor kekal ‘neutral’. Tiada pindaan dibuat dengan andaian harga MSM pada RM3,900 satu tan untuk 2024 dan RM3,800 satu tan bagi 2025,” katanya.