“Harap ada yang sudi memberi..”- Datuk Red buat akaun TikTok semata-mata mahu cari kerja sebab nak sara anak & bayar hutang? Perkongsian yang dipaparkan di akaun TikTok dengan nama @Datored didakwa sebagai milik suami penyanyi Adira Suhaimi, iaitu Datuk Seri Adnan Abu, telah menimbulkan pelbagai reaksi daripada orang awam.
Melalui hantaran yang dikongsikan, Adnan atau akrab dipanggil Datuk Red menyatakan bahawa beliau sedang berusaha mencari pekerjaan dan meminta bantuan mana-mana pihak yang sudi untuk membantunya.
“Misi mencari pekerjaan. Harap ada yang sudi,” katanya.
Menurut Datuk Red, tujuan dia mencari pekerjaan adalah untuk mendapatkan wang bagi menyara keluarga dan melunaskan hutang.
“Terima kasih semua. Saya nak mencari rezeki yang halal demi anak-anak dan membayar hutang. Semoga tuan-tuan semua dimurahkan rezeki,” tambahnya.
Sementara itu, Datuk Red turut memuat naik sekeping foto wajahnya yang diambil di dalam kereta.
Walau bagaimanapun, terdapat segelintir wargamaya yang meragui kebenaran akaun tersebut dan mempersoalkan samada akaun itu benar-benar kepunyaan suami Adira.
Menjawab kepada pertanyaan tersebut, Datuk Red dalam ruangan komen mengesahkan bahawa akaun atas nama @Datored adalah miliknya.
Sebelum ini, Laporan Jawatankuasa Pendamai (JKP) melibatkan Adira dan suaminya Datuk Seri Adnan gagal mencapai kata sepakat untuk berdamai berhubung proses perceraian mereka.
Pada prosiding tersebut, Datuk Red tidak mahu menceraikan isterinya manakala Adira tetap berpendirian untuk berpisah. Mahkamah kemudian menetapkan kes dibawa ke peringkat Hakam pada 24 April 2024.
Kembali mengenangkan, Adira dan Datuk Red berkahwin di Songkhla, Thailand pada 3 Disember 2015 sebagai isteri kedua.
Hasil perkahwinan itu, mereka diberkati dengan empat orang anak iaitu Anggrek, 7, Asan, 6, Anggun, 5 dan Ayob yang kini berusia dua tahun.