Hantar dadah guna dron ke dalam penjara Tapah. Cubaan menyeludup barangan berbahaya yang disyaki dadah menggunakan dron ke sebuah penjara di sini gagal apabila disedari oleh seorang petugas Penjara Tapah Road.
Ketua Polis Perak, Datuk Azizi Mat Aris, berkata Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tapah menerima laporan mengenai kejadian itu kira-kira jam 5 petang semalam.
Beliau memaklumkan bahawa seorang kakitangan penjara telah membuat laporan polis selepas menemui sebuah dron berwarna putih di atas bumbung salah sebuah blok penjara.
“Dron tersebut ditemui ketika kakitangan penjara bersama anggota lain membuat rondaan pada hari yang sama kira-kira jam 11.30 pagi.”
“Hasil pemeriksaan susulan laporan yang dibuat oleh pengadu, polis menjumpai sebuah beg dobi yang digantung pada dron tersebut,” katanya.
Beliau berkata, pemeriksaan lanjut mendapati terdapat satu paket plastik lut sinar yang mengandungi tiga paket plastik berisi serbuk putih yang disyaki dadah jenis heroin.
“Dadah jenis heroin tersebut mempunyai berat kira-kira 122 gram, manakala dua paket plastik lut sinar pula mengandungi ketulan kristal yang dipercayai dadah jenis methamphetamine dengan anggaran berat 12.9 gram.
“Hasil pemeriksaan awal, modus operandi yang digunakan untuk menyeludup dadah ke dalam penjara dengan menggunakan dron dari luar negara adalah kes pertama yang diterima setakat ini,” katanya.
Azizi berkata, pihak polis memandang serius aktiviti penyeludupan dadah dan akan menjalankan siasatan secara menyeluruh terhadap penjenayah kes penyeludupan dadah tersebut.
Katanya, kes ini disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 dan Seksyen 39A(1) ADB 1952.