Hadiah sejambak bunga dan kek, netizen anggap Fattah Amin kurang ‘effort’ pujuk Fazura. Hadiah jambangan bunga dan kek yang dihantar oleh aktor Fattah Amin kepada isterinya, aktres Nur Fazura, menjadi perbualan hangat di kalangan netizen di laman sosial sejak Jumaat lalu.
Kurang Usaha
Ada di kalangan netizen yang berpendapat Fattah tidak menunjukkan ‘usaha’ yang cukup untuk memujuk Fazura, terutamanya pada hari ulang tahun kelahirannya.
Namun, menerusi perkongsian seorang wanita di platform Thread, dia menyatakan bahawa tidak semua lelaki seperti pempengaruh dan usahawan Hafiz Mahamad yang pandai membuat kejutan untuk isterinya.
“Kita tidak boleh mengharapkan semua suami perlu jadi seperti Hafiz Mahamad yang pandai membuat kejutan untuk isterinya. Sebab memang Hafiz jenis yang suka menonton filem romantik.
“Kalau suami kita jenis yang suka tengok cerita perang, janganlah mengharapkan dia pandai berbudi bahasa. Bukan semua lelaki layan cerita seperti Kami The Movie dan pandai berfalsafah.
“Bila orang kata, ‘Apalah Fattah Amin, usaha macam tu je?’ Serius, kasihan pada dia. Sebab dalam perkahwinan, syarat utamanya adalah menerima pasangan seadanya,” kongsi wanita tersebut.
Terima Kekurangan
Dalam perkongsian yang sama, wanita itu menegaskan bahawa dalam perkahwinan, pasangan suami isteri perlu menerima kekurangan masing-masing dan melihat kebaikan yang ada pada diri mereka.
“Jika pasangan tak pandai bersikap manis, ajar. Kalau tetap tak pandai, terimalah dia sebagai pasangan yang kita cintai. Jika pasangan tak pandai bergaya, ajar. Jika tetap tak pandai, lihatlah kebaikan lain yang dia ada. Terima.
“Jika pasangan tak pandai manja, ajar. Kalau dia tetap bercakap kasar, doakan dia berubah. Konsep perkahwinan ini adalah menerima, itu 9/10, cinta, sayang, kerjasama, dan memahami itu semua 1/10. Terima, terima, terima, terima,” ujarnya.
Punca Perceraian
Selain itu, wanita tersebut juga menyatakan bahawa masalah dalam rumah tangga bukan hanya berpunca daripada pihak ketiga atau pergaduhan, tetapi ia terjadi kerana tidak menerima kekurangan pasangan.
“Sebab itu perceraian boleh berlaku tanpa perlu ada orang ketiga, tanpa perlu ada keganasan rumah tangga, tanpa perlu ada masalah lain. Kerana, tidak menerima,” katanya lagi.
Rata-rata netizen turut bersetuju dengan perkongsian wanita itu dan menganggap tidak semua suami pandai membuat kejutan romantik untuk isteri.