Guru sekolah milik GISBH rotan 3 budak di penjara 10 tahun

Photo of author

By Joe

Guru sekolah milik GISBH rotan 3 budak di penjara 10 tahun. Tindakan seorang guru sekolah agama milik Global Ikhwan Service and Business Holdings (GISBH) yang videonya tular merotan tiga kanak-kanak dan menekan dada salah seorang daripada mereka membawa padah apabila Mahkamah Sesyen di sini hari ini menjatuhkan hukuman penjara 10 tahun ke atasnya.

Hakim Noridah Adam menjatuhkan hukuman itu ke atas Muhammad Barur Rahim Hisam, 23, setelah tertuduh mengaku bersalah selepas empat pertuduhan dibacakan.

Selain itu, Muhammad Barur Rahim juga dikenakan bon berkelakuan baik selama lima tahun dan cagaran berjumlah RM10,000.

Guru sekolah milik GISBH rotan 3 budak di penjara 10 tahun

Sepanjang prosiding, lelaki yang memakai kemeja T merah itu kelihatan sugul dan menundukkan kepala, mengakui semua fakta kes yang dikemukakan oleh pendakwaan.

Noridah dalam penghakimannya menyatakan bahawa mahkamah berpuas hati dengan pengakuan tertuduh yang disabitkan bersalah atas semua pertuduhan.

“Justeru, kamu (tertuduh) dijatuhi hukuman penjara dua tahun bagi pertuduhan pertama dan kedua, serta tiga tahun bagi pertuduhan ketiga dan keempat.

“Empat hukuman ini perlu dijalankan secara berasingan bermula dari tarikh tangkapan pada 11 September lalu.

“Selain itu, kamu diperintah untuk menyempurnakan bon berkelakuan baik selama lima tahun. Jika gagal, hukuman penjara enam bulan akan dikenakan bagi setiap kes pertuduhan,” katanya.

Berdasarkan empat pertuduhan, Muhammad Barur sebagai seorang yang bertanggungjawab terhadap tiga kanak-kanak lelaki berusia 10 dan 11 tahun didakwa menganiaya mereka dengan merotan yang mungkin menyebabkan kecederaan fizikal.

Dia juga didakwa menekan dada salah seorang kanak-kanak berusia 10 tahun menggunakan lutut.

Perbuatan ini dilakukan di dua lokasi, termasuk sebuah sekolah agama di sekitar Bukit Raja, Klang Utara, antara Jun, Julai dan September 2024.

Oleh itu, tertuduh melakukan kesalahan mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda sehingga RM50,000 atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Sebagai tambahan hukuman, tertuduh perlu menyempurnakan bon dengan penjamin untuk berkelakuan baik dalam mana-mana tempoh yang dianggap sesuai oleh mahkamah.

Dalam rayuannya sebelum mahkamah menjatuhkan hukuman, lelaki itu memohon maaf atas tindakannya.

“Untuk kes ini, saya benar-benar insaf dan bertekad tidak akan mengulangi kesalahan ini,” katanya.

Pada 16 September lalu, Polis Diraja Malaysia (PDRM) memulakan siasatan berhubung rakaman video berdurasi satu minit sembilan saat yang memaparkan seorang kanak-kanak lelaki dipercayai didera.

Dalam rakaman video itu, kanak-kanak lelaki terbabit dilihat mengerang kesakitan ketika disoal beberapa kali oleh seorang lelaki dewasa.

Baca Lagi:
Wanita berdiri tegak di tengah jalanraya kerana hormat lagu kebangsaan curi perhatian ramai
Tasik Berombak di Terengganu ada ‘penjaga’, penduduk beri amaran orang luar waspada
Ramai tak tahu, rupanya ini maksud sebenar 8 warna baju yang dipakai banduan dalam penjara