Guru kongsi kisah sedih, murid minta bacakan Quran sebelum meninggal dunia. Kata orang, guru ibarat lilin yang membakar diri untuk menerangi orang lain. Walau sesukar mana pun proses mendidik anak-anak bangsa, mereka tidak pernah berputus asa dan patah semangat. Sesuai dengan kata-kata itu, mereka bukan sekadar mencurahkan ilmu pengetahuan tetapi juga menjadi teladan terbaik untuk para murid.
Bagaimanapun, kadang-kadang guru juga perlu menghadapi takdir yang tidak disangka-sangka. Seperti yang dialami oleh seorang guru di Sekolah dalam Hospital (SdH).
Menerusi perkongsiannya, Ahmad Ishamudin Jamhari, atau lebih dikenali sebagai Cikgu Isham, meluahkan kisah pilu yang pernah dihadapinya apabila kehilangan seorang anak murid buat selama-lamanya.
Walaupun silibusnya sama seperti sekolah biasa, Sekolah dalam Hospital (SdH) pastinya sedikit berbeza kerana ia melibatkan murid yang terdiri daripada kanak-kanak yang menghidap pelbagai penyakit, termasuk penyakit kronik.
Cikgu Isham memulakan tugasnya di wad pediatrik Hospital Selayang pada 16 Mei 2016. Ketika itu, dia ditugaskan untuk mengajar salah seorang murid yang menghidap hepatitis B.
Sudah menjadi rutin harian, nama Arif (bukan nama sebenar) sentiasa ada dalam jadual pengajarannya.
“Mungkin kerana keserasian yang terbina, kerana memahami setiap luahan yang ingin disampaikan oleh anak syurga ini,” ujarnya.
“Tanggal 30 Mei 2016, genap dua minggu mengajar di SdH Selayang, satu peristiwa yang takkan dilupakan dalam karier seumur hidup saya telah berlaku. Satu kejadian yang amat menyayat hati dan merobek sanubari sebagai pendidik,” katanya.
Cikgu Isham berkata Arif sangat ramah dan sering meminta dia membacakan buku. Namun, tanpa diduga, hari itu menjadi hari terakhirnya membacakan buku kepada Arif.
“Seperti biasa, saya akan bertanya khabar tentang Arif, keadaannya dan makan minumnya sebelum memulakan sesi PdP di tepi katilnya.
“Walaupun matanya agak kekuningan dan perutnya semakin membesar, dia tetap setia menanti kehadiran saya untuk belajar sesuatu yang baru walaupun dia tahu dia mungkin tidak akan berpeluang lagi melihat hari-hari yang akan datang.
“Wajahnya tetap ceria, menguntum senyuman walaupun dia menderita dengan penyakit yang dihidapinya. Saya merasakan sesuatu yang berbeza pada petang itu, Arif memegang erat tangan saya, berbeza dari kebiasaan.
“Kalau sebelum ini dia tidak meminta apa-apa, kali ini permintaannya agak berbeza, ‘Cikgu boleh tolong saya? Cikgu bacakan ya…’. Saya seperti biasa mengambil komik bola Safee Sali untuk dibacakan kepada Arif.
“Setelah saya bacakan komik itu berulang kali, dia menarik sesuatu dari poket baju saya, iaitu al-Quran kecil yang selalu saya bawa ke mana-mana,” ujarnya.
Katanya lagi, dia memenuhi permintaan Arif yang ingin mendengar alunan ayat al-Quran.
“Bermula dengan Ummul Kitab, saya membaca surah Annas, Al-Falaq dan Al-Ikhlas, tetapi genggaman tangannya semakin lama semakin lemah dan akhirnya terkulai setelah saya tamat membaca surah Al-Ikhlas.
“Saya tergamam dan terkejut, apakah yang telah berlaku? Lantas saya memanggil jururawat yang bertugas.
“Saya diminta untuk berada di luar seketika, tetapi hati saya kuat mengatakan bahawa Arif sudah tiada.
“Jururawat itu segera memanggil doktor yang bertugas. Setelah beberapa kali CPR dijalankan, tiada perkembangan positif yang ditunjukkan.
“Arif telah pergi meninggalkan kami buat selamanya. Seluruh penghuni kamar 20 wad 8B teresak-esak dengan pemergian Arif.
“Semoga arwah ditempatkan bersama para solihin dan syuhada. Al-Fatihah dibaca untuknya.”
Kisah yang dikongsikan oleh Cikgu Isham ini adalah salah satu pengalaman yang perlu dilalui oleh guru-guru yang bertugas di Sekolah dalam Hospital di seluruh negara.
Walaupun berat hati menerima kehilangan tersebut, mereka perlu meneruskan perjuangan untuk mencurahkan ilmu kepada anak bangsa.
Apa itu Sekolah dalam Hospital (SdH)?
Mungkin ramai yang belum mengetahui tentang SdH. Dilancarkan pada 26 Julai 2011, inisiatif ini dilaksanakan untuk menyediakan pendidikan yang formal dan berstruktur dalam persekitaran yang kondusif secara santai. Ia juga menyokong dan memberi rangsangan kepada murid untuk meneruskan pembelajaran supaya tidak tercicir dalam pelajaran.
SdH juga mengukuhkan kerjasama antara Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).
Setakat ini, terdapat 17 buah SdH yang beroperasi di Malaysia dan dijangka akan diperluaskan lagi pada masa hadapan.
Walaupun menghidap pelbagai penyakit seperti kanser darah dan sakit jantung, para pesakit muda ini tidak patah semangat untuk terus menuntut ilmu. Masalah kesihatan mereka tidak menghalang mereka untuk cemerlang dalam pelajaran. Buktinya, ada murid yang memperoleh keputusan cemerlang dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).
Malah, ada juga yang pada awalnya tidak menguasai kemahiran 3M ketika di sekolah harian, berjaya menguasainya hasil kaedah pengajaran bersemuka dan berfokus yang diberikan oleh guru SdH.
Mungkin ramai yang tertanya-tanya bagaimana dengan silibus SdH? Kurikulum yang digunakan adalah Kurikulum Kebangsaan, tetapi guru melaksanakan sesi Pengajaran dan Pembelajaran (PdP) mengikut kesesuaian dengan keperluan dan tahap keupayaan mereka.
Belajar di tepi katil, antara kaedah PdP di SdH
Pembelajaran dan Pengajaran di SdH dijalankan dalam bentuk kumpulan di kelas dan secara individu di sisi katil di wad. Sesi PdP dibahagikan kepada dua waktu iaitu dua jam pada waktu pagi (10.00 pagi hingga 12.00 tengah hari) dan dua jam lagi pada waktu petang (2.00 petang hingga 4.00 petang).
Sehingga Disember 2023, terdapat 100 orang guru yang mengajar di SdH di seluruh Malaysia.
Kesungguhan mereka dalam memberikan yang terbaik untuk semua anak murid telah membuahkan hasil. Malah, ada antara guru ini yang telah mendapat pengiktirafan antaranya dinobatkan sebagai Johan Amalan Terbaik Sekolah Dalam Hospital SeMalaysia, Bahagian Pendidikan Khas pada tahun 2015.
Selain itu, ada antara mereka yang berjaya menjadi Johan bagi Kajian Tindakan Kebangsaan di Persidangan Penyelidikan Kebangsaan Kali ke-15 dan Pembentang 26th ICTEL 2019 International Conference on Teaching Education & Learning di IBIS, Bali, Kuta, Indonesia.
Secara keseluruhan, Sekolah dalam Hospital telah membawa perubahan besar bukan sahaja kepada landskap pendidikan negara tetapi juga kepada murid-murid di sekolah itu sendiri.
Semoga usaha KPM dalam memastikan pendidikan inklusif untuk semua ini dapat diteruskan demi masa depan anak-anak pewaris negara.