Guru cari bekas murid yang bagi hadiah karipap dan sekeping nota pada tahun 2017 dahulu. Sekeping nota ringkas bertulis ‘Love You Ustazah Zainun’ bersama satu bekas kuih karipap yang dihadiahkan sebelum Zainun Zahari berpindah ke sekolah baharu pada tahun 2017 membuatkannya nekad mencari semula bekas anak muridnya yang bernama Putri Alyaa.
Menurut guru tersebut, yang mesra dipanggil Ustazah Zainun, dia sentiasa terfikir tentang keberadaan Putri sehingga kini. Walaupun hadiah tersebut hanya sebekas karipap, keikhlasan dan ketulusan anak gadis itu amat memikat hatinya.
“Semasa berhijrah dari Sekolah Kebangsaan (SK) Datu Hashim, Putri menghadiahkan sebekas karipap yang sangat sedap dengan linangan air mata. Dia agak manja dengan saya dulu.
“Saya simpan nota kasih daripada Putri bersama bekasnya hingga sekarang. Nota itu sudah pun kuning, dan setiap kali melihatnya, saya tertanya-tanya di mana dia sekarang.
“Walaupun hanya sebekas karipap, ketulusan itu mengikat hati saya kepadanya. Percayalah, bukan kebendaan yang menjadi nilai, tetapi keikhlasan,” katanya menerusi hantaran di Facebook pada Sabtu.
Kisah menyayat hati Ustazah Zainun tular di Facebook dan mendapat lebih daripada 7,000 tanda suka, 2,000 komen, serta 5,100 perkongsian. Malah, majoriti warganet juga membantu menjejaki Putri yang difahamkan sudah menginjak usia remaja.
Terbaharu, Ustazah Zainun pada Isnin memaklumkan bahawa keberadaan Putri sudah dikenal pasti hasil bantuan pengguna Facebook yang berkongsi hantaran media sosialnya. Dikatakan bahawa bekas anak murid itu kini berusia 19 tahun dan bakal menduduki peperiksaan Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia (STPM).
Tambahnya, semua mesej kiriman pengguna Facebook sempat dibaca satu per satu bagi memastikan usahanya menjejaki Putri membuahkan hasil, meskipun tidak mempunyai sebarang gambar atau butiran lengkap.
“Saya sudah berhubung dengan Putri Alyaa, tetapi sayangnya peluang untuk bertemu mata belum tiba disebabkan kekangan tertentu di pihak saya. Alhamdulillah, dia yang saya cari. Subhanallah, hampir rasa mustahil untuk jumpa sebenarnya.
“Terima kasih atas keprihatinan dan perkongsian semua. Hiba rasanya bila membaca pengalaman pahit guru yang membawa parut dalam hati masing-masing.
“Saya ambil semua kisah ini sebagai pengajaran dan teladan dalam menyantuni murid-murid serta orang sekeliling. Maaf, saya tidak dapat berkongsi sebarang gambar kerana kami belum sempat bertemu,” ujarnya.