Geram majikan hanya terima graduan ijazah, lelaki lepasan SPM kecewa tak dapat kerja cuci pinggan di Singapura. Ramai yang tertarik untuk bekerja di Singapura kerana tawaran gaji yang lumayan.
Ini kerana nilai gaji di negara jiran itu jauh lebih tinggi disebabkan mata wang dolar Singapura yang lebih kukuh berbanding ringgit.
Oleh sebab itu, seorang lelaki menyuarakan minatnya untuk mencari rezeki di republik tersebut sebagai pekerja basuh pinggan.
Tanpa menyebut lokasi premis sama ada di restoran atau hotel, lelaki itu bagaimanapun kesal kerana mendakwa permohonannya ditolak disebabkan tidak memenuhi syarat kelayakan akademik.
Menerusi satu hantaran di laman sosial, dia yang hanya memiliki Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) memaklumkan bahawa taraf pendidikan Ijazah Sarjana Muda (degree) diperlukan untuk kerja mencuci pinggan tersebut.
“Mohon kerja basuh pinggan pun perlukan degree. Yang SPM ni boleh kerja dekat Bangladesh saja ke macam mana?” luahnya di Facebook.
Luahan pemuda itu mencetuskan pelbagai reaksi dan pandangan dalam kalangan warga maya, sehingga seorang pengguna Facebook turut melontarkan pendapatnya dengan mengaitkan kedatangan rakyat Bangladesh ke Malaysia untuk bekerja di negara ini.
Menurutnya, keinginan pemuda itu untuk bekerja sebagai pencuci pinggan di Singapura menunjukkan seolah-olah tiada tawaran pekerjaan di negara sendiri.
“Cara kamu cakap macam Malaysia ni langsung tak ada peluang kerja. Orang dari Bangladesh pun datang ke Malaysia.
“Kamu pula marah apabila tak dapat kerja di Singapura. Mulalah cakap nak kerja di Bangladesh pula. Orang macam kamu ni tak payah kerja di Singapura lah,” ujarnya.
Rata-rata warga maya menyifatkan situasi yang dihadapi pemuda itu sebagai sebahagian daripada dugaan dalam mencari sumber rezeki.
Mereka juga menjelaskan bahawa masih banyak syarikat di negara ini yang mengambil pekerja baharu dengan kelayakan SPM.
“Banyak lagi syarikat yang mengambil lepasan SPM. Kenapa perlu risau tentang yang satu itu? Kena belajar untuk move on.
“Ada juga kerja (untuk lepasan) SPM di Singapura, khususnya dalam sektor F&B (makanan dan minuman). Kena pandai cari dan meyakinkan syarikat bahawa kamu betul-betul berminat untuk bekerja,” demikian antara komen netizen.
Pada masa yang sama, turut dilontarkan pandangan mengenai mengapa sesetengah tempat kerja memerlukan kelayakan tinggi untuk kemasukan pekerja baharu.
“Ada beberapa sebab mengapa mereka memilih untuk mengambil pekerja yang mempunyai diploma atau ijazah. Salah satu sebabnya adalah sikap.
“Mereka risau jika diminta mengikuti SOP (prosedur operasi standard) yang sederhana pun, pekerja perlu diingatkan berkali-kali. Silap sikit, hilang tanpa surat berhenti kerja.
“Ramai juga yang mempunyai PMR (Penilaian Menengah Rendah) dan SPM yang bekerja dengan baik hingga hari ini. Kebanyakan mereka menjaga sikap dan belajar untuk memahami sesuatu,” katanya.