Ganjaran RM23.6 juta kepada individu bantu tangkap ‘Permaisuri Kripto’. Ganjaran sebanyak AS$5 juta (kira-kira RM23.6 juta) telah ditawarkan untuk membantu dalam usaha menangkap “Cryptoqueen” atau Permaisuri Kripto, Ruja Ignatova, yang sedang dalam buruan.
Sky News melaporkan bahawa Ignatova, yang dilahirkan di Bulgaria dan memiliki kewarganegaraan Jerman, telah disenaraikan sebagai individu yang paling dicari oleh Biro Penyiasatan Persekutuan (FBI) sejak tahun 2022 atas tuduhan penipuan dan pengubahan wang haram.
Berusia 43 tahun, Ignatova dituduh telah menipu pelabur sebanyak AS$4 bilion (kira-kira RM18.9 bilion) melalui penjualan mata wang kripto palsu yang dikenali sebagai OneCoin. OneCoin didirikan di Sofia, Bulgaria pada tahun 2014.
FBI menggambarkan OneCoin sebagai “satu dari skim penipuan global terbesar dalam sejarah” dan sebelum ini menawarkan ganjaran sebanyak AS$100,000 (kira-kira RM471,893) untuk penangkapan Ignatova.
Agensi penyiasatan Amerika Syarikat (AS) kemudian meningkatkan jumlah ganjaran kepada AS$250,000 (kira-kira RM1.16 juta), sebelum Program Ganjaran Jenayah Terancang Transnasional di bawah Jabatan Negara AS menaikkan ganjaran tersebut kepada AS$5 juta (kira-kira RM23.6 juta).
“Ignatova dipercayai berada dalam pengawalan bersenjata dan/atau bersama rakan sekutunya. Ignatova mungkin juga telah menjalani pembedahan plastik atau mengubah penampilannya,” menurut poster yang dipaparkan oleh FBI.
Sementara itu, ketua pendakwa di Bulgaria pada Rabu mengumumkan bahawa Ignatova, yang menghilangkan diri pada akhir 2017, akan didakwa di mahkamah.
“Dia akan didakwa secara in absentia di negara kami, yang akan membolehkan permulaan prosedur untuk mengambil semula harta yang diperoleh secara haram olehnya,” katanya.
FBI percaya Ignatova mungkin menggunakan pasport Jerman untuk melancong ke negara-negara seperti Emiriah Arab Bersatu (UAE), Rusia, Greece, dan Eropah Timur.
Pergerakan terakhir yang diketahui mengenai Ignatova adalah menaiki penerbangan Ryanair dari Sofia ke Athens pada 25 Oktober 2017.
Selepas dimasukkan ke dalam senarai individu paling dicari oleh FBI, agensi tersebut percaya Ignatova melarikan diri dengan “jumlah wang tunai yang banyak” – mencukupi untuk “membeli banyak kawan”.
Terdapat juga spekulasi bahawa dia mungkin telah dibunuh atas arahan ‘Godfather’ mafia Bulgaria.
Karl Sebastian Greenwood, pengasas bersama OneCoin, sebelum ini dijatuhi hukuman penjara 20 tahun di Amerika Syarikat tahun lalu, dan diarahkan untuk membayar balik AS$300 juta (kira-kira RM1.4 bilion).
OneCoin, mata wang kripto palsu yang mereka cipta, memperoleh keuntungan besar melalui skim piramid yang menawarkan komisen kepada ahli untuk merekrut orang lain untuk menyertai pelaburan tersebut.