Gambar KLCC jadi ‘kembar 3’ dalam poster rasmi dikecam netizen. Umum sudah maklum bahawa kehadiran kecerdasan buatan (artificial intelligence) telah membuka peluang kepada orang ramai untuk berkarya dengan mudah hanya melalui pengisian teks. Namun, ia masih memerlukan kemahiran dalam memberi arahan yang tepat untuk mendapatkan hasil yang realistik.
Bersempena dengan bulan Kemerdekaan kali ini, pelbagai jabatan rasmi telah menyediakan poster ucapan tersendiri untuk meraikannya dengan meriah.
Namun, baru-baru ini tular di media sosial sebuah poster rasmi sambutan Hari Kemerdekaan ke-67 daripada Pejabat Polis Daerah Brickfields yang didapati dihasilkan dengan bantuan kecerdasan buatan.
Walaupun secara kasar poster tersebut kelihatan normal, ada sebahagian netizen yang berjaya menemui kesilapan pada gambar tersebut, di mana menara berkembar KLCC kelihatan dengan satu menara tambahan yang tidak sepatutnya, sehingga menghilangkan identitinya.
Penularan poster ini kemudiannya menarik perhatian beberapa pereka grafik digital, yang meluahkan kekecewaan mereka terhadap ketidakpekaan badan berwajib dalam menghasilkan poster dengan semangat patriotik yang sepatutnya bagi memperingati bulan kemerdekaan.
Sementara itu, netizen lain pula mengkritik hasil gambar yang dijana kerana dianggap tidak tepat dan kurang memberi kesan apabila dilihat.
Ada juga yang berpendapat bahawa adalah lebih baik jika badan kerajaan melantik pereka grafik tempatan yang lebih berbakat dan kreatif, sekiranya mereka tidak memiliki kemahiran yang mencukupi dalam menggunakan kecerdasan buatan dengan betul.