Gadis Orang Asli dari tukang bawa air, kini jadi atlet sukan basikal lasak negara

341dd35f 3a84 4c2f a781 b20ef59d6fa6

Gadis Orang Asli dari tukang bawa air, kini jadi atlet sukan basikal lasak negara.

Seorang gadis Orang Asli dari Pahang membuktikan tiada yang mustahil dalam sukan selagi kesungguhan dan bekerja keras dalam mengejar impian.

Menurut Nia Vanessa Suhana, 23, kariernya sebagai atlet sukan berbasikal lasak bermula apabila dia kerap kali menemani rakan baiknya, Siti Natasha ke sesi latihan berbasikal pada hujung minggu.

Nia tidak pernah meramal dia akan menjadi atlet sukan basikal lasak kerana kariernya bermula sebagai atlet sukan berkanu atau berdayung.

Ketika menemani Siti Natasha berlatih, biasanya Nia akan berada di tepi trek bertugas sebagai tukang bawa air.

“Saya bawa air sahaja, water girl,” kata Nia dalam satu wawancara bersama MalaysiaNow baru-baru ini.

9ba41538 d52d 4580 8235 568099b8256c

Akhirnya, jurulatih Siti Natasha mengajak Nia untuk menyertai rakannya itu berlatih.

Begitulah kisah bagaimana gadis ini memulakan karier dalam sukan berbasikal lasak – di mana kelajuan dan ketahanan tubuh adalah kriteria utama yang diperlukan.

Ketika itu, kata Nia, dia masih berusia 15 tahun dan bersekolah asrama di Kuantan.

Dia menyifatkan kesungguhan jurulatihnya menjadi pendorong utama dalam menceburi sukan tersebut.

Tanpa sedar, jiwanya mulai dekat dengan sukan basikal enduro dan ketika usia menjangkau ke 17 tahun, dia sudah mulai aktif menyertai pertandingan di dalam dan luar negara.

Sehingga kini, Nia merupakan pelapis utama atlet kebangsaan yang akan mewakili negara dalam sukan tersebut.

Terbaru, Nia mendapat tempat pertama dalam pertandingan Enduro Bukit 300 Challenge 2022 di Perak bagi kategori terbuka wanita.

Di peringkat antarabangsa, Nia pernah menyertai pertandingan di Manila, Filipina, Thailand dan Indonesia dengan kedudukan tiga teratas dalam setiap pertandingan yang disertai.

“Tak ramai yang sangka Nia akan sampai ke tahap ini. Sebab dulu, Nia lah paling lemah sekali dalam pasukan.

“Kiranya kalau ikut kedudukan, Nia paling bawah sekali. Tapi atas bantuan jurulatih dan kawan-kawan juga Nia boleh sampai tahap ini.”

Nia ialah anak sulung daripada empat beradik, ibunya dari Orang Asli suku Temuan dan ayahnya pula dari suku Semelai.

Menurut Nia, hanya dia seorang sahaja yang memeluk Islam di dalam keluarganya.

Kini, Nia berada di semester akhir dalam kursus pendidikan Sains Sukan di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Bangi.

Sara diri sendiri

Selama hampir tiga jam temu bual bersama gadis berusia 23 tahun ini, Nia berkata banyak cabaran yang dihadapinya untuk mencapai cita-cita sebagai seorang atlet yang mampu bertahan dalam sukan yang tidak begitu dikenali masyarakat.

Antaranya, yang paling sukar dia terpaksa menanggung belanja sendiri untuk membeli kelengkapan dan alatan berbasikal.

Tidak termasuk kos yuran penyertaan, penginapan dan pengangkutan ke lokasi-lokasi pertandingan.

Jelas Nia, sejak awal lagi dia mendapat bantuan dan tajaan daripada majlis sukan negeri (MSN) Pahang.

Bagaimanapun, ia masih tidak mencukupi kerana basikal yang ditaja tidak memiliki ciri-ciri yang baik untuk sukan basikal enduro.

PSX 20220402 230657 e1649125280877

Bagaimanapun, selepas beberapa siri pencapaiannya di peringkat kebangsaan dan luar negara, masa depannya mula berubah.

Kata Nia, dia berjaya mendapat tajaan basikal yang lebih berkualiti dan meraih biasiswa pengajian di universiti.

“Dengan sukan ni, saya boleh bayar pengajian. Saya boleh sara diri sendiri tanpa mengharapkan duit ibu ayah lagi. Saya mampu sara diri sendiri.”

Ketika ditanya, bagaimana menguruskan masa untuk menghadiri kuliah dan meneruskan latihan, Nia berkata dia tidak pernah mengabaikan pelajar meskipun akur dengan jadual latihan yang padat.

Katanya, dia banyak menghabiskan masa di malam hari untuk membaca, menyiapkan tugasan dan mengulangkaji pelajaran.

Manakala, di waktu siang, beliau memberikan fokus sepenuhnya kepada latihan bersama jurulatih dan rakan-rakan.

“Pernah juga kena tinggal kelas selama sebulan sebab ada latihan dan pertandingan. Tapi, rakan-rakan kelas banyak membantu supaya saya tidak ketinggalan.”

Impian Nia

Mengulas lanjut, Nia berkata, dia pernah terfikir untuk buka satu pusat sukan berbasikal di kampungnya bagi memberi laluan kepada anak-anak Orang Asli bermain basikal dan menyertai aktiviti sukan.

Bagaimanapun, katanya, impian itu sukar dilaksanakan memandangkan faktor kewangan yang menghalang.

“Bukan sahaja untuk anak Orang Asli, mana-mana anak muda pun boleh sertai sama. Tapi kos amat tinggi. Anak-anak Orang Asli susah, tak ada wang nak beli basikal.

“Kalau ada kos dan tajaan, mungkin lebih ramai boleh sertai dan lebih ramai atlet boleh dicungkil bakatnya.”

Tambah Nia, ramai saudara mara dan orang kampungnya yang turut menyuarakan hasrat mereka untuk menjadi “seperti Kak Nia” merujuk kepada atlet dan penuntut universiti.

Perkara itu membuatkan Nia berasa terharu dan berasa bersemangat untuk terus kerja keras.

“Walaupun tak ramai yang kenal saya, tapi bila ada yang cakap macam tu, saya tahu saya kena kerja lebih keras.

“Ada orang kampung yang tak ada telefon bimbit dan media sosial, jadi mereka tidak tahu apa yang saya buat.”

Selain itu, Nia turut berkongsi hasratnya untuk menjadi “duta” kepada anak muda yang ingin menceburi arena sukan.

PSX 20220402 171423 696x463 1 e1649125337861

Berkongsi pengalamannya yang pernah dipandang rendah oleh segelintir pihak kerana bermain sukan basikal yang lasak dan tidak dikenali.

Malah, dia pernah diherdik guru-guru di zaman persekolahan kerana mementingkan sukan daripada pelajaran membuatkan Nia mahu membuktikan kepada anak muda, sukan juga adalah jalan yang cemerlang buat individu.

“Sekarang saya dah buktikan bahawa dengan bermain sukan pun saya boleh berjaya dan berdiri dengan kaki sendiri.

“Saya dimarahi dan dipandang rendah tapi kesungguhan saya, saya boleh senyapkan mereka dan tunjukkan sukan juga boleh mengangkat seseorang.

“Dengan sukan, saya boleh sara diri sendiri dan saya juga boleh buktikan saya boleh maju dalam pendidikan. Saya main sukan tak bermakna saya tinggalkan pelajaran.”

Baca Lagi:

Kisah lelaki melayu yang berjaya menjadi kaya-raya tersenarai dalam malaysia miliki puluhan Helicopter dan Pesawat

Tak sangka tinggal dirumah usang, tapi ada aset RM1.7juta..Lembaga zakat dedah siapa sebenarnya makcik ini

Tiga anak melayu kini berjaya di UK bisnes Ganja, kalau dekat Malaysia comfirm kena gantung!

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *