Food reviewer kongsi pengalaman mistik mahu pergi kedai makan popular di Selangor. Apabila sebuah kedai makan menjadi popular dan menerima ribuan pelanggan setiap hari, pasti akan ada individu yang tidak senang lalu melakukan khianat melalui sihir.
Baru-baru ini, seorang pengkritik makanan bernama Botak Makan menerusi akaun peribadi Facebook telah berkongsi pengalaman mistik yang dialaminya ketika mahu ke sebuah kedai popular di Selangor.
Pada mulanya, dia bersama keluarganya dalam perjalanan ke kedai makan tersebut. Sebaik tiba di destinasi, mereka langsung terpinga-pinga kerana tidak dapat menemui bangunan kedai makan yang dimaksudkan.
Walau bagaimanapun, dia bersama isteri dan ibu bapanya terus berusaha mencari di sekitar lokasi yang baru mereka singgah. Mereka tetap gagal menjejak kedai makan tersebut dan hanya menemui sebuah kedai runcit yang berada berhampiran kawasan itu.
Beranggapan mungkin terdapat ralat dari segi jarak lokasi yang dipin, dia pun bergerak sedikit ke hadapan sejauh 100 meter dari tempat asal yang ditunjukkan oleh Waze sebentar tadi.
Namun, keputusan masih tetap sama—tiada tanda-tanda kewujudan kedai makan yang mereka cari, baik di sisi jalan kanan mahupun kiri yang dilalui.
Untuk mendapatkan kepastian lokasi yang sebenar, dia telah menghubungi pemilik kedai makan tersebut.
Pemilik kedai mengesahkan bahawa mereka sebenarnya sudah sampai ke lokasi yang betul dan meminta mereka untuk berpatah balik ke lokasi sebelumnya.
“Belakang dik. Patah balik. Nampak akak tak?” ujarnya kepada pengkritik makanan itu.
Dia mendakwa masih tidak nampak sesiapa, namun beberapa detik kemudian barulah kelihatan seorang wanita melambai-lambai tangannya 100 meter di belakang melalui cermin sisi kereta.
Setelah berpusing balik dan menghampiri wanita tersebut, mereka terkejut kerana tempat yang wanita itu tunggu adalah sama dengan tempat mereka berhenti 10 minit lalu.
Berasa tidak percaya dengan kejadian itu, dia mendedahkan bahawa kedai makan tersebut memang berada di sebelah kedai runcit yang mereka temui pada awal tadi.
Lebih mengejutkan lagi, kedai makan itu sedang dipenuhi pelanggan dan bersusun kereta di parkir namun tidak kelihatan sebelum itu.
Misterinya tidak terhenti di situ kerana dikatakan ramai yang mengadu telah berdepan perkara yang sama ketika mahu ke kedai tersebut seperti tidak nampak kewujudan kedai atau kelihatan tutup pada mata kasar mereka.
Dalam pada itu, dia mendedahkan lauk-pauk yang dijual semua sedap belaka dan unik tetapi sayangnya perniagaan tersebut telah disabotaj.
Di pengakhiran hantaran, dia mendoakan agar pemilik akan tabah menghadapi dugaan sebegini, dipelihara daripada sebarang musibah dan juga ditunjukkan jalan keluar bagi setiap masalah (termasuklah kes ini).
Dia turut sempat memesan kepada orang ramai untuk datang kedai makan tersebut untuk memberikan sokongan kerana terbukti makanannya sedap dan atmosfera kedai yang cukup menyamankan.