Fitnah kematian arwah Siti Sarah agenda ‘Freemason’, John Dihani merayu minta maaf kepada Shuib. Individu yang memfitnah Shuib, John Dihani membuat permohonan maaf secara terbuka dan berharap dapat bertemu empat mata dengan pelawak itu.
Menerusi sebuah hantaran dalam Instagram, John Dhani mengakui kesilapannya memuat naik sebuah poster iklan barang kemas dan menurunkan komen yang menjerumus ke arah fitnah.
“Saya John Dihani dengan rendah hati dan penuh penyesalan di atas kekhilafan yang saya lakukan.
“Disebabkan posting feed IG tersebut, ia juga telah mengundang pengguna-pengguna lain meninggalkan komen sehingga menjerumus kepada fitnah pada Abang Shuib dan arwah isteri,” tulisnya.
Menyesali dengan tindakannya, individu itu turut berharap dapat bersemuka dengan Shuib dan memohon maaf secara langsung kepada usahawan itu.
“Sejujurnya saya menyesali tindakan berkongsi hantaran itu tanpa melihat kesan dan akibat perkongsian itu.
“Saya harap Abang Shuib sudi terima kedatangan saya berjumpa Abang Shuib untuk membuat permohonan maaf secara terbuka di atas kekhilafan saya,” tambahnya.
Terdahulu, Shuib tetap dengan pendirian untuk tidak mahu bertemu individu yang melakukan fitnah melampau terhadapnya.
Malah, Shuib memaklumkan akan menggunakan saluran undang-undang terhadap pemfitnah yang menuduh Siti Sarah dipaksa untuk ditidurkan ketika dijangkiti Covid-19 dan meninggal dunia pada 9 Ogos 2021.
Dalam tulisan itu, individu tersebut turut mendakwa Freemason menggunakan artis untuk mempromosikan vaksin, selain menyatakan Shuib tidak boleh mengingkari arahan walaupun terpaksa mengorbankan keluarga sendiri.