Filem Sheriff tak laku di Indonesia, ini sebabnya. Pengarah filem “Sheriff: Narko Integriti”, Syafiq Yusof, mengambil sikap reda apabila filem tersebut gagal mendapat sambutan di Indonesia sejak permulaannya ditayangkan di 100 pawagam mulai 23 Mei yang lalu.
Syafiq menyatakan bahawa walaupun tayangan filem tersebut telah dihentikan secara drastik, dia tetap mempunyai pemikiran positif dan mengucapkan terima kasih atas peluang yang diberikan.
“Filem Sheriff tidak mendapat sambutan di Indonesia. Jadi, banyak tayangan ditamatkan secara drastik.
“Walaupun begitu, saya ingin mengucapkan terima kasih kepada CGV Cinemas kerana membuka pintu dan memberi peluang untuk filem Malaysia ditayangkan di sana… Terima kasih Indonesia,” katanya.
Syafiq telah berkongsi perkara tersebut menerusi satu ciapan di aplikasi X, semalam.
Tinjauan di ruangan komen menunjukkan bahawa kebanyakan berpendapat bahawa citarasa penonton di Indonesia berbeza dengan di sini.
“Selera mereka mungkin lebih kepada cerita seram.
“Jangkaan mereka sangat tinggi… Susah nak tawan hati penonton sana,” tulis netizen.
Setakat ini, kutipan tiket filem tersebut di Malaysia sudah mencecah RM60.5 juta.
Jumlah kutipan itu juga menjadikan filem terbitan Skop Production dan Astro Shaw ini sebagai filem tempatan nombor satu tahun ini.
“Sheriff” menampilkan Zul Ariffin, Syafiq Kyle, Datuk Aaron Aziz, Azira Shafinaz, Elizabeth Tan dan ramai lagi.