Filem Anwar ‘The Untold Story’ trending no.1 di Neflix berjaya kalahkan filem seram The Pope’s Exorcist

Filem Anwar ‘The Untold Story’ trending no.1 di Neflix berjaya kalahkan filem seram The Pope’s Exorcist

Filem Anwar ‘The Untold Story’ trending no.1 di Neflix berjaya kalahkan filem seram The Pope’s Exorcist. Perjuangan filem biopik Anwar: The Untold Story dalam mengetengahkan kisah jatuh bangun Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam dunia politik, termasuk menentang rasuah tidak terhenti setakat di pawagam apabila menembusi saluran penstriman global, Netflix sejak Khamis lalu.

Lebih membanggakan, filem lakonan Farid Kamil dan aktres popular Indonesia, Acha Septriasa berada pada kedudukan pertama sebaik sahaja ditayangkan, sekali gus menewaskan filem seram, The Pope’s Exorcist lakonan hebat Russel Crowe.

Penerbit Eksekutif, Zulkiflee Anwar Haq atau Zunar melihat pencapaian itu sebagai petanda positif bahawa filem terbitan Yusrych Global Sdn Bhd itu semakin diterima ramai.

Filem Anwar 'The Untold Story' trending no.1 di Neflix berjaya kalahkan filem seram The Pope's Exorcist

“Tak dinafikan, ramai tak berkesempatan menonton filem ini berikutan situasi semasa seperti sibuk dengan persiapan menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) 2023 ketika filem ini ditayangkan di pawagam pada Mei lalu.
“Tidak seperti filem komersial lain, filem biopik perlu ditonton beberapa kali untuk memahami mesej yang cuba disampaikan. Bagi saya, apabila naskhah ini ditayangkan di Netflix, ia adalah keputusan tepat kerana penonton mempunyai masa untuk melihat filem ini berulang kali.
“Anwar: The Untold Story menyampaikan mesej berbentuk pendidikan, iaitu mengenai Perdana Menteri yang pada ketika itu memegang jawatan Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Kewangan berjuang menentang rasuah, selain mahu menjelaskan fakta sebenar yang berlaku pada 1998.
“Beliau bukan sahaja melawan perasuah secara individu, tetapi sebagai sistem kerana amalan rasuah ketika itu sudah berakar umbi.
“Saya ada menerima maklum balas positif penonton yang bukan sahaja memahami mesej cuba disampaikan, tetapi tahu fakta sebenar di sebalik insiden berlaku pada 1998 apabila Anwar dipecat, ditangkap dan dipukul selepas ditayangkan di saluran penstriman ini,” katanya kepada BH Online.

Tambah Zunar, meskipun ada yang menganggap filem itu ‘gagal’, namun dirinya berpendapat sebaliknya. Ini kerana cita rasa penonton adalah subjektif dan terpulang kepada tujuan untuk menonton filem.

“Penonton filem ada dua iaitu satu untuk mencari hiburan, manakala satu lagi bahagian terdiri daripada mereka yang mahu menggali mesej yang cuba disampaikan dalam sesebuah karya.
“Bagi penonton yang mencari hiburan, mereka akan mengatakan filem ini gagal. Ini berbeza dengan penonton yang mempunyai fikiran lebih matang. Kelompok ini biasanya menonton filem untuk mencari unsur pengajaran di sebaliknya.
“Saya ada terima komen yang rata-rata melahirkan apresiasi terhadap naskhah ini sambil memuji usaha produksi menampilkan tema segar dan berbeza daripada apa yang pernah ditampilkan sebelum ini,” ujarnya.

Menyifatkan filem Anwar: The Untold Story sebagai dokumentasi, Zunar yang juga penulis skrip filem memaklumkan naskhah ini bakal ditayangkan di institusi pengajian tinggi (IPT) untuk dijadikan sumber rujukan.

“Meskipun ia bukanlah satu dokumentasi lengkap, namun ia masih boleh dijadikan sumber rujukan berdasarkan fakta yang terdapat di dalamnya. Pembikinan filem ini dibuat dengan penuh hati-hati dan tidak boleh tersilap fakta kerana kebanyakan individu yang terbabit masih hidup.

“Memandangkan mempunyai unsur pendidikan, jadi kami bercadang membawa naskhah ini ke universiti untuk ditayangkan. Kami juga akan mengundang mereka yang terbabit dalam pembikinan filem untuk berkongsi pandangan mengenainya.

“Tujuan ditayangkan di IPT kerana kumpulan sasaran adalah generasi muda kerana selain bakal pengundi, mereka juga bakal menjadi pelapis untuk pemimpin negara pada masa depan,” kata Zunar.

Filem arahan pengarah Indonesia, Viva Westi itu menyaksikan Farid memegang watak Anwar, manakala Acha membawa watak Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail selaku teraju utama.

Selain itu, filem berlatarkan tempoh antara 1993 dan 1998 serta berdurasi 108 minit turut dibintangi Hasnul Rahmat, Firdaus Karim, Saskia Chadwick, Piet Pagau dan Dewi Irawan.

Baca Lagi:
Lepas tanpa dibebaskan daripada 47 pertuduhan, ini kronologi kes Zahid Hamidi
Pelanggan dakwa dianiaya bil makanan RM1,102.20, rupanya pekerja restoran yang order lobster berat 1KG tanpa pengetahuan
Dapat bapa mentua kaya macam CEO Megah Holdings, tak sangka akhirnya terbongkar apa mereka buat selama ini
CATEGORIES