Fenomena Istiwa matahari atas Kaabah, umat Islam disaran semak kiblat masing-masing, ini panduannya. Kaabah merupakan kiblat bagi setiap umat Islam di dunia. Setiap kali menunaikan solat, umat Islam wajib menghadap Kaabah tanpa mengira di mana mereka berada.
Oleh itu, setiap tahun umat Islam diberi peluang untuk melakukan semakan kiblat yang tepat di tempat kediaman masing-masing sempena fenomena Istiwa Adzam.
Walau bagaimanapun, adakah anda tahu apa itu fenomena Istiwa Adzam? Mari kita ketahui lebih lanjut mengenai peristiwa ini dan cara untuk semak kiblat melalui panduan di bawah:
Istiwa Adzam merupakan fenomena di mana matahari akan berada di titik zenith ketika istiwa matahari berlaku di atas Kaabah.
Peristiwa ini berlaku dua kali dalam setahun apabila nilai sudut istiwa matahari bersamaan dengan nilai latitud Mekah (Kaabah).
Apabila Istiwa Adzam berlaku, bayangan objek tegak di tempat lain akan menunjukkan arah ke Kaabah.
Masa ini adalah waktu yang sesuai untuk menandakan dan membuat semakan arah kiblat.
Fenomena ini merupakan kaedah tradisional falak untuk menyemak dan menentukan arah kiblat di mana sahaja pada tarikh tersebut.
Fenomena ini berlaku dua kali setahun iaitu pada:
- 28 Mei pada jam 5.16 petang waktu tempatan. (27 Mei jika tahun lompat)
- 16 Julai pada jam 5.28 petang waktu tempatan. (15 Julai jika tahun lompat)
Maka sesiapa yang ingin menyemak arah kiblat di kediaman, pejabat atau di mana-mana premis, bolehlah melakukannya pada tarikh dan masa tersebut.
Panduan membuat semakan ketepatan arah kiblat
Peralatan yang diperlukan:
- Kayu lurus (Sebaiknya yang ada tapak atau boleh berdiri tegak)
- Masking Tape
- Pen Marker
Cara-caranya adalah seperti di bawah:
- Pada 28 Mei atau 16 Julai, tepat jam 5.16 petang (28 Mei) atau 5.28 petang (16 Julai). Semak jam waktu standard SIRIM di https://mst.sirim.my/ atau telefon 1051.
- Pacakkan atau letakkan kayu lurus tegak tersebut (90 darjah) di kawasan yang ada sinaran matahari (ada bayang-bayang).
- Pastikan hari tidak mendung atau hujan.
- Gunakan pen marker untuk tulis atau tandakan arah kiblat pada jam ditentukan.
- Lekatkan masking tape lurus mengikut bayang-bayang kayu tersebut.
- Bayang-bayang adalah ke arah timur, maka kiblat adalah yang di arah bertentangan.
- Selesai tanda arah kiblat yang tepat.
Setelah siap tanda arah kiblat, boleh lah kita semak ketepatan Apps Arah Kiblat di smartphone yang sering kita ragu-ragu itu (tertakluk juga keadaan fungsi GPS di peranti).
Jika terdapat perbezaan kiblat di masjid atau surau, sila rujuk Pegawai Falak, Jabatan Mufti Negeri untuk maklumat lanjut.