Elak ahli keluarga bergaduh besar, peguam ini perjelas beza hibah harta & wasiat. Setiap kali berlaku kematian dalam keluarga, menguruskan pembahagian harta si mati juga merupakan perkara wajib supaya urusannya selesai di dunia. Namun, tercetusnya pergaduhan antara ahli keluarga adalah kurang pemahaman mengenai hibah harta atau wasiat yang telah dilakukan oleh si mati.
Oleh itu, berikut merupakan penjelasan dari peguam Roslina tentang hibah harta dan wasiat supaya mendapat gambaran jelas apa yang akan diterima di mahkamah kelak.
YANG MANA SATU: HIBAH HARTA ATAU WASIAT?
Hibah atau wasiat sebenarnya dua-dua ada fungsi dan peranannya masing-masing. Susah nak faham kalau kita hanya bagi fakta-fakta sahaja. Saya kena buat bahagian demi bahagian sebab saya ada banyak kes-kes dan kisah benar nak dikongsi supaya melalui kes-kes dan kisah benar tu lebih mudah orang ramai nak faham aplikasi hibah dan wasiat yang lebih praktikal bukan berdasarkan teori sahaja.
Ok biasanya yang banyak bertanya pasal hibah dan wasiat ni golongan wanita para isteri. Sebab mereka tahu bahagian mereka paling sedikit. Tapi kali ini saya nak kongsikan 1 kes yang melibatkan orang lelaki sendiri. Seorang lelaki yang juga suami dan ayah kepada seorang anak perempuan datang berjumpa saya untuk buat hibah. Umurnya muda lagi tapi dah ada harta 2 biji rumah yang lokasinya agak strategik dan beberapa ekar kebun sawit. Profil kewangannya memang cantik dengan beberapa pakej insurans yang diambil dan beberapa pelaburan yang dibuat. Apa yang membuatkan beliau nekad nak buat hibah?
Ceritanya.. ”Isteri saya suri rumah. Saya hanya ada seorang anak perempuan. Adik-beradik saya ramai lelaki dan ibu saya masih hidup. Baru-baru ni saya ada borak santai bagitau nak merancang harta saya dengan keluarga. Adik-beradik saya tak setuju. Katanya diorang pun ada hak ke atas harta-harta saya. Ibu saya pun ada cakap dia nak bahagian atas rumah saya. Saya terkejut dan tak sangka! Sebab saya masih hidup dan harta-harta saya belum pun jadi harta pusaka lagi tapi mereka dah berkira-kira bahagian mereka. Hubungan saya dengan adik-beradik pun taklah rapat sangat sebenarnya. Sebab tu saya tak lantik mereka jadi saksi saya pun puan. Tak sangka apa yang saya baca selama ni tentang perebutan harta terjadi dekat keluarga saya sendiri. Bezanya saya masih hidup. Saya tak dapat bayangkan apa nasib isteri dan anak perempuan saya kalau saya tak buat apa-apa..”
Oo patutlah beliau nekad betul nak buat hibah. Betul lah..selagi tak kena batang hidung sendiri memang kita tak akan sedar. Agak-agak kalau si suami ni buat wasiat nak bagi semua harta dia kepada isteri dan anak perempuan dia sahaja..apa akan jadi pada wasiat dia? Cuba bayangkan.. selepas kematian dia..dengan struktur faraid yang sama. Agak-agak adik-beradik lelaki dan ibu dia cabar tak wasiat tu? Sebab mereka pun waris si suami dan berhak dapat bahagian faraid. Kalau mereka tak setuju dengan wasiat tu, mereka boleh cabar wasiat tu di mahkamah syariah.
MAHKAMAH SYARIAH SAHAJA ADA KUASA
Hanya mahkamah syariah sahaja yang ada bidang kuasa untuk menentukan sama ada wasiat tersebut boleh dilaksanakan atau tidak, bukannya agensi yang menyediakan wasiat itu. Antara perkara penting yang mahkamah akan ambil kira:
1)Adakah wasiat itu mengikut hukum syarak? Tidak. Kerana wasiat itu dibuat kepada waris iaitu isteri dan anak perempuan. Sedangkan wasiat sepatutnya dibuat kepada BUKAN waris. Tambahan lagi, dibuat ke atas semua harta, bukan 1/3 sahaja.
2)Jika wasiat dibuat kepada waris..adakah waris-waris yang lain setuju? Jika waris yang lain setuju, tak ada masalah maka wasiat tersebut boleh dilaksanakan. Tapi dalam kes ini? Jika ada waris-waris yang cabar maka wasiat itu akan terbatal dan tak berkuatkuasa.
Maka akhirnya harta-harta si suami tadi akan dibahagikan secara faraid. Dan bahagian isteri hanya 1/8. Apa akan jadi pada nasib isteri dan anak perempuan tadi jika masing-masing akan menuntut bahagian ke atas rumah tu? Adakah itu hasrat si suami tadi semasa menulis wasiat? TIDAKKK! Perkara itu takkan terjadi puan..sebab saya masih hidup dan saya nak buat hibah sekarang! Fuhh tersedar dari lena dan igauan mimpi ngeri rupanya..
Adakah hibah tak adil dan melarikan hak waris-waris yang lain? Perlu difahami, hibah dibuat semasa hidup. Dan harta tersebut bukan lagi harta pusaka. Kita berhak nak bertasarruf dengan harta kita sendiri. Nak bagi kat orang atau nak jual itu hak kita. Kecuali kalau kita dah mati, harta itu bukan harta kita lagi dan ia akan jadi harta pusaka. Barulah perlu ditadbir mengikut prosedur harta pusaka.
Nota 1: Suami tu cuma hibahkan rumah-rumah dan kebun sawit dekat isteri dan anak perempuan dia je. Sebab nak pastikan isteri dan anak dia ada tempat tinggal dan pendapatan lepas dia mati nanti. Harta-harta dia yang lain macam ASB, saham-saham, wang tunai dan lain-lain tu semua dia tak hibahkan pun. Tetap akan diagihkan secara faraid kepada waris yang lain.
Nota 2: Yang saya faham hibah tu hadiah. Habis tu kalau dah hadiahkan semua harta-harta kita dekat orang, kita dah tak ada apa-apa harta lagi la kan? Kalau isteri dan anak tinggalkan saya macam mana? Haa sebab tu nak buat hibah pun kena ada ilmu bukan pakai buat je. Hibah kan ada banyak jenis. Hibah mutlak dan hibah bersyarat. Keperluan setiap orang tak sama.
Hibah tu tak zalim. Yang zalim tu orang yang tak nak cari ilmu yang betul tentang hibah dan wasiat.
*Hibah bukan melarikan pusaka tetapi merancang harta.