El Azman kongsi kisah mahu kerja parkir valet sebab minat kereta mewah, sekarang mampu beli 3 kereta mewah RM15 juta. Usahawan El Azman sanggup menghabiskan segala demi mewujudkan impian sejak kecil apabila berjaya membeli tiga kereta mewah idamannya pada tahun ini.
El atau Mohd Hilmi Che Azman, 36 tahun, menyatakan bahawa anggaran kasar untuk ketiga-tiga kenderaan itu adalah sebanyak RM15 juta.
Kereta-kereta tersebut termasuklah McLaren Senna, Lamborghini SVJ Roadster, dan Rolls Royce Cullinan.
“Alhamdulillah, sebenarnya saya telah membeli McLaren Senna sejak tahun lepas, tetapi baru-baru ini ia dihantar kepada saya,” katanya.
“Sebelum ini saya memandu Lamborghini Urus tapi saya jual dan gantikan dengan Rolls Royce Cullinan dan beli sebuah lagi kereta iaitu Lamborghini SVJ Roadster.
“Anggaran kasar kesemua kereta tersebut dalam RM15 juta,” katanya.
Dalam pada itu, El memberitahu kereta tersebut adalah sebagai merialisasikan impiannya kerana sejak kecil meminati kenderaan mewah.
Tidak pernah terbayang dapat memiliki kereta idamannya, El menceritakan bahawa dia dahulu pernah mempertimbangkan untuk bekerja sebagai penjaga parkir valet kerana itu adalah peluang baginya untuk mendekati kenderaan mewah.
“Saya suka kereta mewah sejak kecil tetapi dulu saya nakal, jadi saya tidak pernah terfikir bahawa saya boleh membeli kereta mewah ini.
“Saya pernah bermimpi untuk bekerja sebagai penjaga parkir valet hanya untuk merasai naik kereta mewah,” jelasnya.
Sementara itu, El menyatakan bahawa dia sedar kemewahan yang dimilikinya selalu menjadi perbualan dalam masyarakat sehingga ada yang mengancam untuk melaporkannya kepada Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN).
El bagaimanapun tidak bimbang tentang perkara itu kerana setiap tahun dia akan menjalankan tanggungjawab membayar cukai.
“Reaksi saya tidak ada apa-apa, saya bersyukur kerana saya adalah pembayar cukai yang tegar, saya tidak pernah lari daripada tanggungjawab.
“Dalam bidang fesyen, kita perlu mempunyai akaun dan sangat teliti mengenainya.
“Saya rasa lebih baik untuk diam daripada memberi balasan, kadang-kadang lebih baik diam,” ujarnya.