Ejen hartanah jual rumah dekat Nilai tapi ‘claim’ dekat dengan KLCC dikecam orang ramai. Kita semua sedia maklum bahawa harga hartanah semakin meningkat, terutamanya di lokasi yang popular atau yang mempunyai fasiliti awam di sekitarnya.
Baru-baru ini, seorang pengguna dengan nama X telah berkongsi satu penemuan unik mengenai iklan hartanah di Facebook. Apa yang menarik perhatian ramai ialah ketika seorang ejen hartanah mengiklankan sebuah rumah yang dikatakan berdekatan dengan KLCC, hanya terletak dalam jarak kira-kira 59 kilometer sahaja.
Walau bagaimanapun, setelah diselidik oleh netizen, rumah tersebut sebenarnya terletak di Nilai. Dengan menggunakan aplikasi Google Maps, anggaran masa yang diperlukan untuk pergi ke KLCC adalah kira-kira 46 minit tanpa mengambil kira tol.
Bahkan, anda perlu mengambil kira kesesakan jalan yang terpaksa ditempuhi terutamanya pada waktu-waktu puncak seperti ketika pergi dan pulang dari tempat kerja.
Susulan daripada pendedahan tersebut, netizen kemudiannya memenuhi ruang komen dengan meminta ejen hartanah untuk tidak mengiklankan rumah dengan maklumat yang tidak tepat kerana boleh menyebabkan kekeliruan kepada orang ramai.
Dalam pada itu, terdapat netizen yang meninggalkan pesanan untuk mengingatkan ejen agar tidak mengatakan bahawa rumah atau bilik sewaan itu “berdekatan dengan LRT” padahal sebenarnya perlu berjalan kaki selama 30 minit ke stesen terdekat.
Tidak hanya itu, beberapa netizen mendedahkan bahawa taktik licik ini telah lama digunakan oleh beberapa ejen hartanah untuk meningkatkan penjualan rumah pelanggan mereka. Oleh itu, ramai yang meminta pihak berkuasa untuk campur tangan dalam membendung aktiviti pengiklanan yang tidak bermoral ini daripada menjadi meluas.