Dulu mekanik, sekarang jadi tauke Richiamo Coffee, ini kisahnya yang ramai orang tak tahu. Bergelar Pengarah Urusan Kumpulan Richiamo Sdn Bhd, Muhamad Zamry Abu Samah memikul tanggungjawab yang sangat besar.
Mengetuai lebih 1,000 kakitangan yang bertugas di seluruh 222 cawangan kedai kopi premium terkenal negara itu tentunya bukan satu tugas yang mudah.
Namun, dengan semangat untuk memastikan kesejahteraan para pekerjanya, Muhamad Zamry bertekad menyusun perancangan demi kesinambungan masa depan jenama Richiamo Coffee.
“Jujurnya, kehidupan saya dalam dunia bisnes bermula dari bawah. Saya mula bekerja sebagai mekanik junior di Hong Leong Yamaha Motor pada tahun 1993, sejurus menamatkan pengajian di Institut Kemahiran Belia Negara (IKBN) Jitra, Kedah.
“Sejak itu, saya terus fokus ke hadapan dan mula mendaki satu demi satu tangga kejayaan dalam dunia permotoran, termasuk jawatan terakhir saya sebagai Pengarah Urusan MV Agusta Malaysia Sdn. Bhd.,” katanya.
Ironinya, salah satu kelebihan lelaki berusia 53 tahun itu dalam meraih kejayaan adalah kemahirannya dalam menguasai bahasa Mandarin dan Kantonis ketika bersaing dalam industri permotoran yang banyak dikuasai oleh kaum Cina.
“Apa yang boleh saya katakan, komitmen adalah sangat penting untuk mencapai kejayaan yang diimpikan. Bayangkan, sepanjang tempoh bekerja makan gaji, sijil sakit (MC) saya kurang dari 10 hari.
“Walaupun sakit, jika masih ada kudrat, saya tetap datang bekerja. Dalam erti kata lain, saya sentiasa komited dalam melaksanakan tugas,” ujar Muhamad Zamry lagi.
Justeru, tidak hairanlah beliau berjaya memenangi World Muslimpreneur Award bagi kategori Brand of The Year 2022 dan terbaru, Malaysia Industri Award 2023 melalui jenama perniagaan Richiamo Coffee yang diasaskan sejak tahun 2015.
Menurut anak kelahiran Jelebu, Negeri Sembilan ini, dalam dunia perniagaan, disiplin kewangan perlu kukuh untuk memastikan keseimbangan kewangan syarikat. Disebabkan itu, ketika pandemik Covid-19 yang menyebabkan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan, tiada seorang pun pekerja Richiamo Coffee yang dibuang kerja walaupun perniagaan agak terjejas.
Cipta Kelainan
Dengan pengalaman lebih tiga dekad dalam industri permotoran, Muhamad Zamry berani mengambil cabaran baru dan mencipta kelainan. Beliau memulakan perniagaan dalam bidang makanan dan minuman (F&B) melalui penubuhan Richiamo Coffee, dengan outlet pertamanya dibuka di Universiti Utara Malaysia (UUM) Sintok, Kedah pada September 2016.
“Tawaran ruang berniaga ketika itu membuatkan saya tidak mahu melepaskan peluang untuk mencuba sesuatu yang baru. Alhamdulillah, percaturan kami berjaya apabila jenama Richiamo Coffee semakin mendapat tempat dalam kalangan peminatnya, terutama golongan pelajar universiti yang menjadi sasaran utama kami ketika itu.
“Selepas membuka cawangan di UUM, kami menerima tawaran untuk membuka cawangan di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) Gombak, Selangor, diikuti oleh Universiti Teknologi Malaysia (UTM) di Kuala Lumpur. Kemudian, kami mula memasuki pasaran yang lebih luas dengan membuka outlet di lobi-lobi bangunan, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (KLIA 2), dan sebagainya.
“Alhamdulillah, kini Richiamo Coffee tidak gentar untuk bersaing dengan jenama kopi antarabangsa yang lain kerana kami mempunyai kelebihan tersendiri,” jelas bapa kepada empat anak itu.
Malah, beliau turut menyifatkan Richiamo Coffee sebagai perniagaan keluarga memandangkan dua anaknya turut membantu dalam pengurusan syarikat, selain bersyukur kerana dapat meneruskan legasi kedai kopi yang pernah diusahakan arwah bapanya di kampung dahulu.
Ditanya tentang harapannya dalam tempoh beberapa tahun akan datang, Muhamad Zamry menyatakan impian untuk meluaskan pasaran Richiamo Coffee ke peringkat global.
“Setakat ini, kami sudah mempunyai cawangan di Siem Reap, Kemboja. Jika diizinkan oleh ALLAH, kami merancang untuk membuka cawangan di Indonesia, Brunei, Kazakhstan, serta Mekah dan Madinah.
“Pada 17 dan 18 Ogos ini, Richiamo akan menyertai pameran di Melbourne, Australia. Kemudian, pada 18 hingga 21 November, kami akan menyertai Pameran Halal Antarabangsa Malaysia (MIHAS) di Dubai.
“Pihak kami telah mengenal pasti beberapa prospek dari Uzbekistan dan Qatar yang akan mengambil Master Franchise.
“Insha-Allah, dengan izin-Nya, tahun 2025 akan menjadi permulaan yang sangat positif untuk mengembangkan lagi jenama Richiamo di pentas antarabangsa,” ungkap beliau.
Richiamo Mart
Mengulas lanjut mengenai penubuhan Richiamo Mart pada bulan Mei lalu, Muhamad Zamry memberitahu bahawa premis yang kini sudah mempunyai enam cawangan itu ditubuhkan untuk memberikan peluang kepada produk-produk tempatan dijual di cawangan-cawangan tersebut.
Beliau berpandangan bahawa kebanyakan produk tempatan menghadapi kesukaran untuk memasuki kedai lain sebelum ini.
“Sehingga kini, sambutan adalah amat menggalakkan, terutama apabila pelanggan mula menyedari bahawa banyak produk tempatan yang tiada di tempat lain boleh didapati di Richiamo Mart,” tuturnya.