Dua budak lelaki kira duit seringgit beli buah durian ‘reject’ buat ramai sebak. HARGA durian yang agak tinggi telah menyebabkan beberapa individu tidak mampu untuk menikmati buah raja tersebut.
Di TikTok, viral kisah dua kanak-kanak lelaki yang membeli sebiji durian yang tidak begitu elok atau ditolak dari sebuah gerai buah.
Menurut seorang wanita yang dikenali sebagai Damiana Jun, dia bertemu dengan kanak-kanak tersebut ketika mereka datang membeli durian bersama suaminya.
“Masa saya dan suami sedang memilih durian, kedua-dua kanak-kanak itu datang. Saya melihat mereka berbual sambil mengira duit seringgit-seringgit dalam poket.
“Tiba-tiba saya terfikir, adakah mereka hendak membeli durian? Bagaimana mungkin dengan sedikit wang yang mereka ada. Ternyata, mereka hendak membeli durian reject yang sudah kuning dan pecah di tepi bakul itu.
“Saya melihat durian tersebut sesuai hanya untuk dibuat tempoyak. Tidak sesuai untuk dimakan,” ujarnya memulakan cerita.
Menurut wanita itu, dia melihat dua kanak-kanak itu keriangan kerana mampu membeli sebiji durian.
Namun sebagai wanita yang bergelar ibu, Damiana berkata hatinya sebak melihat dua kanak-kanak itu.
Akhirnya, dia membeli sebiji lagi durian dan menghadiahkan kepada mereka.
Mereka gembira kerana dapat membeli sebiji durian walaupun hanya durian reject. Mereka berlari membawa durian tersebut ke bawah pokok dan makan. Melihat mereka, saya teringat akan anak-anak saya yang hampir sebaya dengan mereka.
“Tidak sampai hati, saya pun membeli durian baru untuk mereka. Saya lihat durian reject tadi sudah habis mereka makan, dan sambil bercakap dengan saya, mereka masih menjilat jari lagi. Saya tanya, sedap ke durian yang awak makan tadi? Mereka mengangguk.
“Saya katakan kepada mereka, aunty beli lagi satu untuk awak berdua. Sila makan. Mereka mengucapkan terima kasih. Alhamdulillah. Sungguh, saya rasa lega dapat membelikan mereka durian baharu walaupun hanya sebiji,” tulis wanita itu.
Perkongsian video tersebut telah mendapat 100,000 tontonan di aplikasi TikTok.
@damianajunpakartilamsemoga dpt bahagiakan awak dgn pemberian yang sedikit ni π₯Ίπ₯Ίβ¬ Penghujung Rindu – κ§ πΉ.πππ_πΆπππππππ κ§
Rata-rata netizen turut memuji sikap pemurah wanita tersebut.
“Terima kasih kak. Sedih pagi-pagi. Semoga sekeluarga dimurahkan rezeki.”
“Cara adik tersebut menghadap puan, berjalan, dan berhenti, dengan tangan di belakang, menunjukkan dia orang yang beradab dan genius,” tulis seorang netizen.