Dua anggota polis parah tertimbus tanah ketika operasi musnah bom. Dua anggota polis dilaporkan parah akibat tertimbus tanah ketika sedang bertugas memusnahkan bom di tapak perumahan Jalan Tabah, Taman Sri Lambak di Kluang, hari ini.
Menurut Sinar Harian, kejadian tersebut berlaku sekitar jam 3 petang. Kedua-dua mangsa yang terlibat merupakan anggota polis dari Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor. Mereka dilaporkan telah dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Enche’ Besar Hajjah Kalsom.
Mangsa, Koperal Abd Halim Zainal dan Koperal Muhammad Faruuqi Shamsary, merupakan anggota Unit Pemusnah Bom Polis Johor.
Setakat ini, Abdul Halim dilaporkan mengalami pernafasan tidak stabil, patah tulang pinggul dan tulang rusuk, serta pendarahan dalam perut. Sementara itu, Muhammad Faruuqi mengalami pernafasan tidak stabil dan patah tulang paha.
Menurut Sinar Harian, Ketua Polis Johor, Komisioner M Kumar, telah mengesahkan kejadian tanah runtuh tersebut. Namun, beliau enggan mengulas lebih lanjut mengenai insiden tersebut.
Sebelum ini, kehadiran ambulans di kawasan perumahan telah menimbulkan tanda tanya di kalangan penduduk dan tular di media sosial.