Dua Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) dan seorang bekas senator mengumumkan keluar daripada DAP Sabah

Justin Wong Calvin Chong Adrian Lasimbang

KOTA KINABALU: Dua Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) dan seorang bekas senator mengumumkan keluar daripada DAP Sabah malam ini.

ADUN Sri Tanjong Justin Wong, ADUN Elopura Calvin Chong, dan bekas senator Adrian Lasimbang berkata mereka memulakan kerjaya politik masing-masing demi berjuang untuk Sabah, termasuk bagi lebih autonomi, infrastruktur yang lebih baik, malah “lebih penting lagi, masyarakat inklusif yang mengatasi bangsa dan agama.”

“Malangnya kami tidak mencapainya menerusi DAP Sabah,” katanya dalam kenyataan bersama yang dikongsikan bersama FMT.

“Kurang kepercayaan ditunjukkan oleh kepemimpinan kami dalam jawatankuasa negeri, khususnya Pengerusi (Frankie Poon).”

Wong mendakwa parti itu hilang arah selain mengalami perbalahan dalaman dan masalah komunikasi teruk antara pemimpinnya.

“Jadi dengan berat hati kami mengumumkan akan meninggalkan DAP berkuat kuasa serta-merta.”

Disoal sama ada mereka akan berbaik dengan Gabungan Rakyat Sabah (GRS), Wong yang dilantik ahli jawatankuasa dalam pemilihan parti DAP Sabah baru-baru ini berkata, mereka hanya akan menjadi ADUN Bebas.

“Kami menganggap wujud keperluan mendesak bagi memilih platform lebih sesuai yang mampu membuka ruang untuk kami berkhidmat dengan lebih baik untuk negeri tercinta ini.

“Saya tidak mahu membincangkan ke mana akan kami pergi buat masa ini, cukuplah kami katakan mahu berkhidmat untuk rakyat Sabah,” katanya kepada FMT.

Ini bererti DAP Sabah kini hanya mempunyai empat ADUN iaitu Poon (Tanjong Papat), Phoong Jin Zhe (Luyang), Jannie Lasimbang (Kapayan) dan Tan Lee Fatt (Likas).

Ahli Parlimen parti itu pula adalah Chan Foong Hin (Kota Kinabalu), Vivian Wong (Sandakan) dan Noorita Sual (Tenom).

Chong sebelum ini membayangkan mahu meninggalkan DAP Sabah. Antara alasan diberikan termasuk memetik masalah dalaman dan pilihan parti tahun lalu yang melihat beliau serta beberapa ahli lain tidak dilantik ke ahli jawatankuasa.

Sumber

Leave a Reply

Your email address will not be published.